Jaga Perut Demi Ummah!


Alamak!

Merenungi keadaan manusia kini, jiwa terasa berat, sempit dan sesak. Seakan orang yang hampir kelemasan saat berenang, tercungap mendapatkan sumber udara. Mana tidaknya, terlalu banyak penyakit sosial yang melanda ummah kini; rasuah, mencuri dan merompak, buli,pergaulan bebas, zina, hamil anak luar nikah, bunuh dan segala macam masalah yang tidak berpenghujung. Lebih membimbangkan, arus pemikiran tanpa landasan syariat seperti liberalisme, feminisme dan hedonisme, ditambah lagi dengan pengaruh ajaran sesat seperti syiah dan kristinisasi semakin menular ibarat virus yang menjangkiti mangsanya. Semua ini adalah masalah yang sudah tentu memerlukan penyelesaian. Ya, ummah perlu dirawat! Lalu, apa kaitannya dengan madah penulisan ini?
 Kita perawat ummah  
                Disini, penulis ingin mengajak pembaca meneliti kalam Ilahi yang terkandung di dalam surah ali-‘Imran ayat 110;
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik”.
                Nah, begitu indah pengiktirafan Allah kepada umat Islam. Dijadikan-Nya kita umat terpilih, yang terbaik dari sekalian umat yang ada di muka bumi dan sudah tentu dengan tujuannya yang benar, yakni mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Sedar tidak sedar, kitalah insan pilihan Ilahi untuk merawat penyakit ummah yang semakin tenat kini. Ternyata, ini bukan kerja yang mudah. Sedangkan Rasulullah s.a.w., kekasih Allah juga mengalami pelbagai mehnah demi memimpin umat baginda kembali kepada Allah.
Sifat seorang doktor ummah
Demi mengubati penyakit-penyakit ummah ini, sebilangan doktor ummah amatlah diperlukan. Siapakah di antara kita yang layak menjadi doktor ummah? Pendapat penulis sendiri, orang yang layak menjadi doktor buat ummah adalah mereka yang mempunyai dan berusaha melengkapi dirinya dengan sifat-sifat peribadi muslim. Berikut ini adalah 10 sifat peribadi muslim yang harus ada dalam diri setiap doktor ummah:

1.       Aqidah yang sejahtera
2.       Ibadah yang benar
3.       Akhlak yang mantap
4.       Sihat tubuh badan
5.       Luas pengetahuan
6.       Berjuang melawan hawa nafsu
7.       Menjaga waktu
8.       Tersusun dalam sesuatu urusan
9.       Berdikari
10.   Bermanfaat kepada orang lain
                Lihatlah, Imam Hasan al-Banna amat menitikberatkan kesihatan jasmani sebagai salah satu sifat yang perlu ada pada jiwa seorang muslim sejati. Hal ini seiring dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bererti, “Mu’min yang kuat lebih dicintai Allah daripada mu’min yang lemah” (HR Muslim).
                 Berhubung kesihatan jasmani, kita tidak boleh lari daripada membicarakan dua aspek berikut; pemakanan dan aktiviti fizikal.
Halal lagi baik
                Menelusuri firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 88 maksudnya,
“dan makanlah makanan yang halal lagi baik (thoyyib) dari apa yang telah diizinkan kepadamu dan bertaqwalah kepada Allah dan kamu beriman kepada-Nya”.
                Disini, amat penting untuk kita mencari makanan yang halal bukan sahaja daripada sifat makanan itu sendiri, kita juga seharusnya mendapatkan makanan tersebut dengan cara yang halal (bukan makanan yang dicuri, hasil rasuah dan apa sahaja cara yang haram).
                Walaubagaimanapun, makanan yang halal sahaja belum betul-betul menepati kriteria pemakanan seorang doktor ummah. Ayuh kita bawa imaginasi kita ke sebuah pusat membeli-belah. Bayangkan rak makanan ringan yang bertingkat-tingkat itu. Ya, ada logo halal pada hampir kesemua makanan, bukan? Namun, adakah makanan-makanan sebegini baik untuk kesihatan? Nah, disinilah makanan yang baik (thoyyib) berperanan. Seorang doktor buat ummah yang tenat haruslah bijak memilih makanan yang ingin disuap dan dihadamkan. Berusahalah memilih makanan yang seimbang nutrisinya buat tubuh yang dipinjamkan kepada kita ini. Tanamkan dalam minda bahawa makanan yang masuk ke perut kita ini adalah sumber tenaga buat kita menuntun ummah kembali kepada Pemilik mereka.



Keutamaan riadah
                Mungkin ada yang beranggapan, memilih makanan yang seimbang sudah cukup untuk memperoleh kesihatan yang baik. Jika hal ini benar, masakan Rasulullah s.a.w. mengarahkan umat baginda mengajarkan anak-anak mereka memanah, berkuda dan berenang? Makanan yang kita makan mampu membekalkan tenaga, namun bagi menguatkan otot dan ketahanan fizikal badan yang lain, senaman haruslah diamalkan. Ayuh azamkan pada diri untuk memperuntukkan sebahagian masa mingguan kita untuk senaman dan aktiviti fizikal yang bermanfaat. Lazimkan senaman dengan doa Rasulullah s.a.w.;
“Ya Allah sihatkan badanku, ya Allah sihatkan pendengaranku, ya Allah sihatkan penglihatanku”
                Konklusinya, setiap daripada kita, orang yang beriman adalah doktor ummah yang seharusnya menjaga tubuh kita demi membimbing ummah kearah kebaikan. Fizikal yang lemah adalah mustahil untuk bernafas panjang dalam usaha menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Penulis suka untuk berkongsi kata-kata daripada Allahyarhamah ibu Ainun, isteri kepada bekas Presiden Indonesia, Bapak Rudy Habibie;
“Kamu itu pemimpin Negara, kalau kamu tidak mampu memimpin tubuhmu sendiri bagaimana kamu mahu pimpin tubuh 200 juta orang?”
Renungkanlah dan sama-sama kita menjaga perut demi ummah, insya-Allah.
Penulis semasa pembentangan program IMPAK 2014
Biodata penulis :
-Nura Ruhaya Abd Halim
-26 Disember 1990
-Rembau, Negeri Sembilan
-Sekarang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sains Makanan di UMT.
-Mantan JKPO PEMBINA K. Terengganu
-Sekarang menjawat sebagai Ketua Beliawanis PEMBINA Kemaman