Cukupkah Hanya Bersemangat di Jalan Dakwah ini?



Nakbah umat Islam abad-20
                Hampir 92 tahun sudah umat Islam masih meratapi kesedihan kehilangan sebuah khilafah Islam yang dahulunya memerintah dunia ini dengan berbekalan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Perjuangan demi perjuangan digerakkan oleh da’ie bak cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh negara umat Islam. Di Mesir wujudnya Ikhwan muslimin yang diasakan oleh Hasan al-Banna, di Turki pula, lahirnya gerakan Said Nursi, di Pakistan pula lahirnya gerakan Jamiat Islami yang dipelopori oleh Abul a’la al-Mawdudi dan banyak lagi termasuklah di Tanah Melayu yang bermula di sekitar 1970-an. Mereka tetap bekerja bersungguh-sungguh membina generasi harapan walaupun ketika itu juga pihak musuh Islam rancak merantah umat Islam dengan penuh kemaruk.
Kemenangan semakin hampir. Bila?
Saya bawakan maksud hadis Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Ahmad:
“Muncul babak Kenabian di tengah kalian selama masa yang Allah kehendaki, kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul babak Kekhalifahan mengikuti manhaj (cara/metode/sistem) Kenabian selama masa yang Allah kehendaki, kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul babak Raja-raja yang menggigit selama masa yang Allah kehendaki, kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul babak Penguasa-penguasa yang memaksakan kehendak  selama masa yang Allah kehendaki, kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul babak Kekhalifahan mengikuti manhaj (cara/metode/sistem) Kenabian. Kemudian Nabi shollallahu ’alaih wa sallam diam.”

Daripada sini, dapatlah kita yakini bahawa Islam akan kembali semula memegang tampuk kepimpinan dunia. Adakah kita ingin menjadi sebahagian golongan yang terlibat dalam menyusun bata-bata kemenangan ini atau kita ingin menjadi pemerhati dari jauh? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.
Perjuangan ini berat, hanya amal secara kolektif (berjemaah) sahaja yang mampu menguruskannya
Firman Allah SWT di dalam surah as-Saf, ayat 4:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.
Gambaran ketika Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin tenteranya - kredit foto
Marilah kita menelusuri sirah Nabawiyyah Rasulullah SAW yang tercinta juga memulakan strategi dakwahnya dengan merekrut sahabat-sahabat yang boleh membantunya sebagai satu kumpulan untuk menyebarkan Islam di bumi Mekah ketika itu. Jika Rasulullah SAW, utusan terakhir juga bekerja secara jamaie’ dalam tugas-tugas dakwah baginda dan sahabat, masakan kita pula, insan yang sangat lemah dan jahil ini, amat memerlukan lagi gabungan tenaga bagi menjayakan misi yang suci ini. Daripada sinilah lahirnya juga pergerakannya yang lebih matang dilaksanakan generasi demi generasi melalui fiqh dakwah dan haraki. Ulama-ulama haraki terdahulu berusaha mendidik generasi baru dengan ma’ani dakwah dan haraki berdasarkan pengalaman mereka di jalan dakwah ini melalui penulisan kitab-kitab yang berkaitan. Usaha ini juga telah dicontohi oleh ulama-ulama haraki kotemporari seperti Syed Qutb, Mustapha Masyhur, Abbas As-Sisi, Fathi Yakan, Yusuf Qardawi, Mustapha Sibai’e dan banyak lagi.
Jika masih ada mereka yang masih memahami dakwah ini hanya dapat dilakukan secara individu tanpa jamaah, saya kira saudara/I belum memahami konsep sebenar dalam dakwah. Tidak mengapa, ambil masa, jumpa mereka yang ahli bahagian ini, belajarlah daripada mereka. Masih belum terlambat, tidak bermakna kita boleh tangguhkannya.


Jalan dakwah ini sangat mencabar dan memakan masa
Saya sajikan kata-kata daripada Syaikh Mustapha Masyhur, agar dapat kita fahami, bahawa inilah thoriq (jalan) dakwah yang sebenar dari bibir mereka yang terlibat secara langsung dalam dakwah ini.
“Jalan dakwah tidak ditaburi bunga-bunga harum, tetapi merupakan jalan sukar dan panjang. Sebab, antara haq dan batil ada pertentangan nyata. Dakwah memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera, tanpa putus asa dan putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus dan hasilnya terserah kepada Allah SWT, sesuai dengan waktu yang dikhendaki-Nya. Mungkin pendakwah tidak akan melihat hasil dakwah serta buahnya di dalam hidupnya di dunia ini. Kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya”.
Kesabaran adalah ibu kunci kepada amal dakwah ini
Masa adalah sebahagian daripada rawatan. Inilah adalah ungkapan yang telah diolah oleh as-Syahid al-Imam Hassan al-Banna rhm di dalam penerangan tentang rukun baiah ke-7 iaitu thabat. Penjelasan aspek ini juga telah ditulis oleh Muhammad Abdullah al-Khatib di dalam bukunya yang bertajuk Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta’alim.
Seperti mana, saya coretkan di bahagian pendahuluan tulisan ini, bahawa musuh-musuh Islam telah melaksanakan projek-projek untuk membinasakan umat Islam. Tambahan umat Islam pula dijangkiti pelbagai penyakit yang serius sehinggakan ‘ilah mereka bertukar daripada Allah SWT kepada materialistik. Realiti sebegini tidak mampu dirawat dengan segera. Oleh itu ia perlukan kesabaran.
Hassan al-Banna menegaskan bahawa rawatan ini ada tiga perkara iaitu:
1.       Mengetahui tempat sakit yang sebenar
2.       Sabar terhadap kesakitan rawatan
3.       Doktor yang mahir merawat penyakit tersebut sehingga menyembuhkannya seperti sedia kala
Demikianlah, bahawa tiada ruang untuk dakwah ini, bagi mereka yang gopoh-gapah dan terlalu bersemangat dan berjiwa rapuh untuk jayakan cita-cita yang sangat suci ini.
Hassan al-Banna juga memberi peringatan kepada ahli ikhwan muslimin tentang hal ini, di dalam ucapannya berikut:
“Hai Ikhwanul Muslimin, terutama yang tergopoh-gopoh dari kamu, dengarlah kata-kataku yang tinggi yang berkemundang dari atas mimbar ini di dalam muktamar kita yang umum ini. Sesungguhnya jalan kita adalah jalan yang telah digariskan langkah-langkahnya ditentukan batas-batasnya dan akan tidak menyalahi batas-batas itu, dan aku telah berpuas hati dengannya, kepuasan sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya. Mungkin tugas dakwah merupakan satu jalan panjang, akan tetapi di sana tidak ada jalan lain selain jalan itu. Sifat kelelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang sungguh-sungguh dan terus menerus. Maka siapa saja dari kalangan kamu yang hendak cepat dan terburu-buru memetik buah sebelum masak atau ingin memetik bunga sebelum masanya, maka aku sama sekali tidak bersama dengannya, dan lebih baik baginya meninggalkan dakhwah ini, lalu pergi mencari dakwah yang lain. Siapa saja yang bersabar bersama aku hingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya hingga tiba waktunya untuk dipetik, maka ganjarannya terserah kepada Allah SWT semata-mata. Kita tidak boleh lari daripada dua kebaikan ini. Apakah kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan bahagia”. 
Jika anda masih terus berlebih-lebihan bersemangat dan gopoh dalam melaksanakan tugas dakwah ini, maka kembalilah kepada kefahaman ini yang sebenarnya. Oleh itu, terjawablah persoalan kepada tulisan ini, bahawa tidak cukup untuk bersemangat sahaja di jalan dakwah ini.
Semoga Allah tetapkan hati kita semua untuk kuat bersabar dan konsisten dalam melaksanakan tugas dakwah ini sehingga kita dipanggil untuk bertemu dengan-Nya.

Rujukan:
1.       Al-Quran
2.       Buku Fiqh dakwah, jilid 1, karangan oleh Syaikh Mustpaha Masyhur
3.       Buku Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta’alim, oleh Muhammad al-Khatib

Penulis semasa menjadi salah seorang panel forum 'Islam Gagasan Belia Negara'
Biodata penulis :
- Mohamad Azran Faris Bin Mohamad Azemi
-    Kota Bharu, Kelantan
-    Melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Biologi Marin di UMT
-    Sudah berkahwin
- Jawatan sebagai Pengerusi PEMBINA cawangan K. Terengganu.