Syawal: Diri yang kembali setelah Ramadhan pergi


Syawal kembali lagi menandakan Ramadhan juga telah berlalu jauh meninggalkan kita. Ramadhan bagai kekasih yang datang saban tahun tidak jemu bertemu dengan kita. Ia disambut dengan penuh cinta dan seribu satu pengharapan untuk meraih pengampunan dariNya serta mampu menjadi hamba yang bertaqwa kerana taqwa itulah matlamat Ramadhan. Boleh jadi sebelum datangnya Ramadhan kita adalah antara orang yang dimurkaiNya namun setelah datangnya tetamu yang agung ini tidak mustahil kitalah orang yang paling bahagia kerana dosa-dosa kita telah terhapus dan Allah mencintai kita bersama-sama orang yang dicintaiNya. Setelah datangnya Syawal, pemergian Ramadhan ditangisi kerana mungkin juga segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak. Perginya Ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan hari-hari yang indah, setiap hari dipenuhi dengan tilawah al-Quran, solat-solat sunat, berzikir kepada Allah, dan juga bersedekah. Tiada hari tanpa pengabdian kepadaNya, tiada hari tanpa diri yang sentiasa sujud kepadaNya, mulut yang tidak pernah berhenti berzikir dan menahan dari perkataan buruk, tiada hari juga yang berpesan kepada seluruh anggota dari melakukan perbuatan haram yang dimurkaiNya. Alangkah indahnya jika segala amalan sepanjang bulan yang mulia itu diterima Allah. Segala ibadah yang dilakukan dengan harapan dapat melahirkan diri yang kembali kepada fitrah yang suci lagi bersih serta terpelihara daripada dosa.

Saat Syawal datang, ia membawa cahaya yang bersinar dan menawarkan hadiah kepada hambaNya yang berjaya mengharungi bulan Ramadhan dengan penuh kekhusyukan dalam mengabdikan diri kepadaNya. Malaikat pula menjadi saksi atas segala amalan yang dilakukan setiap manusia setelah bertebarannya mereka selepas solat aidilfitri, amalan orang-orang yang diterima akan diterima sebaliknya amalan orang-orang yang ditolak akan ditolak. Persoalannya di sini, berapa ramai pula umat Islam yang semasa bulan Ramadhan amalannya menjadikan ia layak untuk meraikan kemenangan serta menyambut aidilfitri dengan penuh kegembiraan sebaliknya bagi muslim yang amalannya tertolak pada hari raya ia telah gagal. Sudah semestinya harapan untuk kembali lahir sebagai sebuah jiwa yang suci bersih hanya tinggal harapan.

Namun begitu, adakah kemenangan yang disambut hanya ketika setelah Ramadhan pergi? Suasana Syawal yang disambut kadang-kadang membuatkan kita leka dengan segala nikmat yang dimiliki dan diri kita di bulan Ramadhan kembali berubah tunduk kepada nafsu setelah datangnya Syawal. Tarbiah Ramadhan yang dilalui tidak mampu meninggalkan kesan untuk terus menjadi insan yang soleh dan bertaqwa. Ketahuilah bahawa Rabb di bulan Ramadhan juga adalah Rabb yang sama di bulan Syawal serta bulan-bulan yang lain. Adakah kita mengenal Allah hanya di bulan Ramadhan namun setelah datangnya Syawal, kita kembali menjadi hambaNya yang jauh dari Allah. Kita kembali tunduk kepada nafsu dan syaitan yang sedang bergembira melihat kejayaan dalam memperdayakan kaum muslim yang lalai. Alangkah ruginya..

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:

“Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita’ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

Kalimat fitri dari perkataan aidilfitri itu sendiri bermaksud fitrah. Fitrah manusia yang kembali pada keadaan asal iaitu bersihnya diri dari dosa dan noda. Aidilfitri yang datang meraikan fitrah manusia sebagai satu titik permulaan untuk terus menjadi hambaNya yang bertaqwa. Seharusnya kesucian fitrah ini haruslah dikekalkan, tidak hanya di bulan Ramadhan. Ramadhan sudah pergi jauh meninggalkan kita, Syawal pula datang menerpa. Saat ini kembalilah umat Islam itu dalam keadaan diri masing-masing. Bagaimanakah dirimu saat ini?

Masihkah al-Quran itu dibuka untuk dibaca dan difahami dengan penuh khusyuk?

Masihkah diri masih terpasak tidak jemu dalam melakukan solat-solat sunat?

Masihkah mulut itu tidak pernah berhenti berzikir mengingati Rabbmu?

Masihkah tangan itu tidak pernah berhenti untuk berinfaq dan melakukan kebaikan?

Masihkah maksiat itu terus ditinggalkan atau kembali diteruskan?

Masihkah jiwa itu sentiasa berkata kepada diri alangkah indahnya jika diriku diakhiri umur dalam keadaan begini?

Wahai jiwa.. kekalkan kamu untuk sentiasa mengenal Tuhanmu dan mengabdikan diri hanya padaNya.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredaiNya.
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu.Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”

(Al-Fajr:27-30)

Syawal yang datang bukanlah sebagai titik terakhir untuk kita terus beramal dan mengenal Allah tapi jadikanlah Syawal yang datang sebagai titik kembalinya diri kita sebagai seorang hambaNya yang sentiasa meletakkan Allah dalam setiap urusan kehidupan. Jika kita telah bertaubat kepada Allah di bulan Ramadhan seharusnya taubat itu diteruskan dalam setiap saat dan di mana jua kita berada.

Jadilah diri kita kekal sebagai hamba Allah bukan hanya hamba Ramadhan.

Dr. A’idh Al-Qarni ada menyebut bahawa seorang mukmin itu terlahir dua kali. Kali pertamanya adalah saat hari kita hidup dengan Islam, saat Allah menerima taubat kita. Kelahiran kedua adalah saat kita dilahirkan oleh sang ibu yang membawa kita ke dunia, di mana kita tetap di atas fitrah.

“Ibundamu melahirkan dirimu menangis keras..

Sedang manusia di sekitarmu tertawa gembira..

Maka berbuatlah untuk dirimu, agar jika mereka menangis pada hari kematianmu,

Sedang engkau tertawa gembira...”

Terimalah hakikat bahawa hidup ini adalah saat hati hanya menuju kepada Allah,kehidupan yang dimaksudkan adalah ketika hidup bersama Allah, dan hidup ini dihabiskan umurnya hanyalah semata untuk beribadah kepada Allah.

“Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan”

(Al-An’am: 122)

Berdoalah semoga kita sentiasa kembali dalam keadaan yang diredhaiNya. Semoga segala amal kebaikan diterima, segala keburukan diampuni, taubat yang diterima, serta kita tergolong dalam golongan yang dijadikanNya sebagai pewaris syurga. Moga Syawal yang datang ini menjadikan diri kita kembali sebagai hambaNya yang benar-benar terlahir di atas fitrah Islam yang sebenar.

Eid Mubarak! Taqabbal Allahu minna wa minkum...

Maaf Zahir dan Batin...


Rabialtu Sulihah Ibrahim
JK Biro Pembangunan Sumber Manusia
PEMBINA Johor