Dari mana anak ini??


[Credit to]

Prolog
Seusaiku menutup mushaf al-Quran, terdengar anak kecilku menangis. Ku bergegas meluru merangkulnya dengan penuh kasih. Anakku terbuai dalam lenanya kembali. Ku renung wajah anakku, satu wajah yang amat menenangkan jiwa terpamer dari insan kecil yang tiada dosa ini.
Fikiranku terbang mengenang nasib insan-insan sebaya anakku yang tidak cukup setahun mengenal dunia ini yang dibuang di dalam tong sampah, lubang tandas, di sungai dan lain-lain. Dibiarkan anak itu dalam kesejukan, digigit oleh semut api, kelaparan dan macam-macam lagi.  Bagaimanakah nasib mereka? Sedangkan yang layak untuk anak kecil seperti adalah dibelai dan dimanja penuh kasih sayang, diulitkan dengan alunan dodoian suara merdu ibunya hingga anak kecil ini lena dalam keselesaan. Tetapi oleh sebab taraf anak ini menjadi satu penghinaan buat sang ibu, anak ini dibuang hidup-hidup tanpa perikemanusiaan!
Naluri keibuanku semakin tersentuh jika memikirkan hal ini. Jika dilayan fikiranku ini, memang berjuraian juga air mata ini. Tidak dinafikan, apabila seseorang wanita dah menjadi ibu, hati mereka memang akan lebih sensitif.


Jangan hampiri zina!
Statistik pembuangan bayi dari tahun 2004 hingga 2010


Dari mana anak ini lahir? Apakah punca utamanya terjadi dosa ini?
Ya, dari hasil perzinaan pasangan yang tidak mempunyai jiwa yang tersentap dengan peringatan Allah swt! Masakan ada anak yang sahtaraf dibuang secara hidup-hidup sebegini!
Mereka lupa dengan firman Allah SWT ini ,
“Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).
 Ayat “laa taqrabu” bermaksud jangan mendekati menegaskan bahawa amat perlu kita menjauhi jalan-jalan menuju ke arah zina.
Benar! Jalan-jalan menuju kepada zina itu bahaya! Yang ‘ringan-ringan’ itu bakal membawa bahana!
Yang dianggap kecil dan remeh itu sebenarnya parah!
Sudah tentu semua takut diserang penyakit Leptospirosis atau ‘Kencing tikus’? Tikus adalah binatang yang kecil, tapi dapat menyebarkan satu virus penyakit yang menyebabkan seseorang itu mempunyai harapan tipis untuk hidup. Pasti, langkah untuk mencegahnya adalah kita akan memastikan rumah kita bersih dan membeli racun tikus untuk mengelakkan tikus ini membiak.
Bukankah ia dari benda yang kecil?
Sama juga dengan penyakit Denggi, Malaria dan Japanese encephalitis, Ia berpunca dari nyamuk yang halus, kecil sahaja. Tetapi membawa penyakit yang parah.
Itulah perbandingan yang dibuat. Tidak ramai orang meninggal disebabkan dibaham harimau, singa atau dilenyek oleh gajah. Tetapi, banyak penyakit yang berpunca dengan perkara yang dianggap kecil ini.
Zina itu penyakit yang amat parah, maka jangan dekati jalan-jalannya!

Jalan-jalan Zina
Haish.. zina pun ada jalan-jalannya?
Ya, jalan-jalan zina ini  jangan sesekali didekati. Perlu kita menjauhinya!
Ia bermula dengan ikhtilat ( percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram).
Bermula dengan pandang-pandang, berbalas senyuman, dan akhirnya ber’whatsapps’.
Hubungan ini menjadi rapat, dan mereka ber’couple’. Akhirnya timbul rasa cinta dan rindu untuk bertemu. Syaitan akan terus membisikkan untuk melakukan kejahatan kepada pasangan ini sehingga mereka terjebak dengan zina.
 Sis, saya bercouple, tapi bila kami dating di khalayak ramai, kami berchatting bincang tentang agama”.
Ungkapan ini selalu didengari dari pasangan yang menyatakan bahawa mereka bercouple Islamic.
Masih teringat satu analogi yang dibuat seorang pendakwah yang dikagumi kata-katanya suatu ketika dulu (moga Allah sentiasa merahmatinya):
Entum jangan main-main dengan isu couple. Couple tetap haram. Bagaimana khinzir yang kita tahu haram dimakan. Suatu hari, khinzir ini kita islamkan dia dengan mandikan dia, suruh dia solat, kita mengaji dekat dia, adakah khinzir ini halal dimakan selepas itu?”
Analogi ini amat menyentap jiwa. Jadi pemuda pemudi di sana, jangan terfitnah dengan dosa ini.
Orang yang menjaga kehormatan diri adalah menjaga dirinya sedaya upaya agar tidak terlibat dengan dosa.
Zina ada beberapa cabang, seperti zina mata, zina lisan, dan zina anggota badan.
Disebutkan dalam hadits Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw. bersabda,
 “Allah telah menetapkan atas setiap Bani Adam bahagiannya dari zina yang tidak bisa tidak pasti ia mendapatinya. Zina mata adalah melihat, zina lisan adalah berbicara, hati berangan-angan serta bernafsu dan kemaluan membenarkan atau mendustakannya.”
Wahai pemuda ingatlah kita yang akan disoal pada hari akhirat kelak.

Azab yang dijanjikan Allah s.w.t. bagi yang berzina
Banyak hadis dari Rasulullah s.a.w menceritakan azab yang menimpa kepada orang yang berzina. Antaranya:
“Dua kejahatan akan dibalas oleh Allah ketika di dunia: zina dan derhaka kepada ibu bapa”(H.R. Thabrani)
Hukuman yang diterima oleh penzina dibalas di dunia dan di akhirat. Allahu akbar!
Antara hadis yang lain:
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Wahai kaum Muslimin! Jauhilah perbuatan zina kerana padanya ada 6 macam bahaya, tiga di dunia, tiga di akhirat.
Adapun bahaya yang akan menimpa di dunia ialah:
1. Lenyapnya cahaya dari mukanya
2. Memendekkan umur
3. Mengekalkan kemiskinan
Adapun bahaya yang bakal menimpa di akhirat kelak ialah:
1. Kemurkaan dari Allah s.w.t
2. Hisab (perhitungan yang buruk)
3. Seksaan di neraka
(H.R. Baihaqi)
Nauzubillah! Zina itu parah dan barah kepada ummah! Ayuh kita menjauhinya, elakkan diri dari terfitnah dengan bisikan pujuk syaitan untuk mendekatinya.
Orang yang mulia tidak mendekati zina. Orang yang berjaya sedaya-upaya menjauhi dirinya dari zina. Hamba yang disayangi Allah akan membenci jalan-jalan menuju kepada zina.


Ku renung lagi wajah anakku yang mulus ini. Ku fikirkan masa depannya pula. Bagaimanakah keadaan zamannya kelak jika keadaan sekarang budaya zina menjadi-jadi?
Ku memohon dari Ilahi agar dijauhkan zuriat keturunanku daripada terjebak dengan zina dan penzina.
Jom sama-sama selamatkan umat ini daripada terjebak dengan zina! Jauhilah zina!


Biodata penulis.
Nama : Halimaton Solehah Mohamed
Jawatan : Ketua Beliawanis PEMBINA Kuala Terengganu
Status : Sudah berkahwin & mempunyai seorang anak.
Asal : Dungun, Terengganu
Pendidikan : KISAS, UMT (Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan)
Pekerjaan : Surirumah