“Daku menempah satu bintang di tanganmu”



Terlihat waktu 10:47 pm di bucu kiri skrin laptop, menandakan hari kian menjengah ke pertengahan malam.  Cinta sidna - Suhaimi Saad berdentum jadi halwa telinga. Terlajak satu hari due date submit artikel. Sebetulnya ada tiga artikel yang dicuba-cuba tulis, nyatanya percubaan tak dilajakkan hingga ke puncak/konflik. Jiwa tiba-tiba lesap menjadikan hasilnya terkontang-kanting dan separuh jalan. Hilang punca yang entah macam mana. Barangkali penulisan gaya ‘artikel’ (academic writing terkecuali) sememangnya adalah bentuk halangan menyempitkan. Banyaknya yang tersangkut di laman blog sendiri adalah penulisan hasil pemerhatian dan pendengaran yang kupasannya santai bermoral. Mohon belas daripada tuan editor untuk sudikan jua menerima air tangan ini.
terpesona mata,                                                                                         
dengan kilauan permata,
memaknakan cinta kepada dunia,
serta takut sirna – Cinta sidna

nak satu bintang! - kredit foto
 Penulisan ini ditujukan kepada sosok seseorang, nyata istimewanya.
Dentuman bertukar InnaAllaha Maa’na - Medina. La budda musikal bisa mencantumkan benih-benih kepala buat orang yang berjiwa biru, tidak dapat terasingkan ibarat irama dan lagu. Sudah pernah dikhabarkan dulu kalau bukan suatu ketika nanti bergelar ahli akademik, ada kemungkinan membayangkan diri sebagai komposer lagu. Selamat berkenalan.
Termanggu dalam ruang kecil tertutup ini masih memungkinkan mata membayangkan langit luar yang tidak berapa gelap tapi tetap sudi menyilaukan jua kelipan cahayanya sang bintang. Mahu dikutip cahaya-cahaya itu dan dihulurkan pada jiwa yang kegelapan agar bertukar menjadi sinar yang menyuluh. Bintang-bintang itu bertebaran indah dengan tersangat banyaknya ibarat hamparan malam dingin menyelimutkan dunia agar berasa tenang dan nyaman dalam pelukannya.
Riwayat bintangkah yang ingin dicurahkan? Ya, barangkali.
Bintang membuat gelisah sungguhpon berjarak pandang tapi hati mendekat ada getaran.

Bintang~ ini getaran rasaku…

Tanpa ketahuan waktunya hanyasanya selepas tiupan kedua si Israfil, terbangun dan tergambarlah suasana ketika itu orang-orang bergelisahan, resah, air peluhnya hingga ke pucuk hidung, tanpa cotton Inggeris, sutera, chiffon bahkan seurat nylon pon tak sudi melekat menutup aibnya. Nafsi-nafsi membawa diri, tanpa peduli isteri tercinta yang menggugu bahkan tak sudi dicari anaknya yang mungkin sedang menghiba. As-syams hanya sejengkal daripada tulang kepala. Berdiri atas satu kaki tanpa putaran kipas National, hawa dingin Panasonic mahupon sekadar kipas sate. Leka menghitung-hitung diri, genius Matematik sekalipon berserabut otaknya walaupon perkiraan amalnya cuma perlu dibahagi dua - baik atau buruk.

Betapa anehnya hari itu bahkan mungkin berkumpulnya nanti bersama biduan biduanita belahan jiwa, yang biasanya hanya disorak sorai dari bawah pentas atau cuma bertepuk tangan depan kaca TV. Tapi ganjil sekali hari itu, memandangnya saja tidak mahu apatah lagi meminta autografi buat kenang kenangan. Selautan saujana mata memandang daripada umat generasi Adam sehinggalah generasi umat Nabi akhir, tak terkira jumlah ramainya orang-orang yang dikumpulkan di tempat yang dijanjikan itu - Mahsyar.
Kala itu sayup-sayup ada teriakan berulang-ulang. Memanggil dengan penuh harapan, ada yang diperkenankan mengenal suara itu berlari-lari kecil mendapatkannya. Tak kurang ada juga yang cuba-cuba mendekat padanya tapi tak diperkenankan, lalu katanya “Tuhanku, sesungguhnya mereka adalah umatku.” Lalu Allah menjawab : “sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka lakukan sepeninggalanmu”.

cinta nan sejati,
yang seikhlas budi,
milik seorang Nabi ummati ummati,
cintanya abadi – Cinta sidna

Diserunya lagi, “ummati, ummati….”, berulang-ulang.
Diserunya lagi, “ummati, ummati….”, berulang-ulang.
Bahkan terus-terusan “ummat ku, ummat ku…”

Diberikan daripada tangannya sendiri piala atau kendi berisi air dingin di tepi Kauthar atas syafaatnya. Piala-piala air yang tersedia sebanyak bintang dilangit. Nikmatnya tak tegambar di waktu resah gelisah itu, di kala semuanya berdegup kencang menanti perhitungan al-Mizan, atas belas syafaat jua cinta pada ummatnya, disudikan mengagih-agih air dingin kurniaan Allah bagi mereka yang layak.  Itulah bintang yang mahu ditempah daripada tangan baginda Nabi, sosok seseorang istimewa yang ditujukan penulisan ini.

Tak tergambarkan betapa celanya, hinanya seandai piala air sebanyak bintang dilangit itu tak tersedia satu pon untuk disambut ditangan ini, airnya dinginnya tak dapat diteguk. Resahnya berterus-terusan dan derita bertambah-tambahan. 

Tatkala mendongak ke langit dalam kegelapan malam, pilihlah bintangmu yang paling cerah bersinar, petiklah ia dan bisikkan penuh kecintaan pada baginda, “Ya Rasulullah, sudikanlah aku menempah satu bintang daripada tanganmu”.

Riwayat bintang, adaptasi daripada petikan hadith ini :
Anas R.A berkata ketika Rasulullah S.A.W bersama kami di dalam masjid, tiba-tiba baginda melelapkan matanya seketika, kemudian mengangkat kepalanya dalam keadaan senyum. Kami bertanya : “Apakah yang membuat anda senyum Ya Rasulullah S.A.W?” Baginda menjawab (maksudnya) : “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku sebentar tadi satu surah,” lalu baginda membaca surah al-Kauthar.
Seterusnya baginda bertanya “Apakah kalian tahu apa itu al-Kauthar?” Kami menjawab : “Allah & RasulNya lebih mengetahui”. Nabi menjawab : “Sesungguhnya ia adalah sebuah sungai yang dijanjikan oleh Allah kepadaku dan mempunyai banyak kebaikan. Disitu, ada takungan air (minum) yang dikunjungi umatku pada hari akhirat, bekas air yang disediakan sebanyak bintang di langit, sebahagian daripada umatku ditegah mendapatkannya”. Aku berkata : “Tuhanku, sesungguhnya mereka adalah umatku”. Lalu Allah menjawab : “Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka lakukan sepeninggalanmu”. (HR Muslim, Abu Daud & an-Nasa’ie).

Dentuman Balada selawat - Munsyid menutup tirai. Wallahua’lam.


Penulis (tengah) semasa bertugas membuat liputan misi BAKTI Banjir PEMBINA di Kemaman

   Biodata penulis :
- Najihah Bt Muhd Munzafar
- Berasal dari Kuala Lumpur
- Lahir pada 17 April 1989
- Melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sains Akuakultur di UMT
- Mantan JK Media & Informasi PEMBINA K. Terengganu
- Kini sebagai JK Pembangunan Organisasi PEMBINA K. Terengganu