Memupuk Semangat Berpasukan dan Fokus Beliawanis





KUALA TERENGGANU, Sabtu - "Sukan bola keranjang mampu melatih pemain untuk lebih fokus dalam mencapai sesuatu target. Selain itu, sikap proaktif seseorang ahli pasukan itu sangat diperlukan bagi memastikan rentak permainan yang seimbang dalam pasukan."

Begitulah kata-kata azimat yang telah disampaikan oleh Ketua Beliawanis Kuala Terengganu, Saudari Halimaton Solehah Mohamed selepas riadah 'Beliawanis Basketball Battle', pagi tadi.

Riadah yang diadakan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dihadiri oleh beliawanis dari UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA). Tujuan utamanya bukanlah mahu menunjukkan siapa hebat tetapi lebih kepada menyemai ikatan silaturrahim sesama ahli.


Rasulullah (SAW)bersabda yang bermaksud, “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.”

Daripada hadis jelas menunjukkan Islam meletakkan kepentingan yang tinggi untuk bersukan dalam melatih umat muslim dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap ahli semasa perlawanan berlangsung serta semangat sepasukan yang ditunjukkan oleh beliawanis amat mengagumkan.

"Aktiviti ini bakal dijadikan aktiviti riadah bulanan bagi para penggerak beliawanis UMT dan UnisZA. Oleh itu, para penggerak boleh mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat supaya mudah bagi mejalankan gerakan kerja dalam organisasi", tambahnya lagi, mengakhiri sesi riadah.

Semoga lebih ramai beliawanis yang akan turun padang menyertai sesi riadah berikutnya pada masa akan datang.