Aktivisma Mahasiswa

 ‘Mahasiswa’! Satu nama yang pernah menggegar bumi Malaysia pada satu masa lalu.
Kewujudan AUKU pada tahun 1971 telah menjadi satu cerminan bahawa gerakan mahasiswa pernah menjadi satu kuasa besar yang mampu mempengaruhi keputusan kerajaan dalam membuat sesuatu undang-undang. Ini menjadi petunjuk bahawa kepaduan suara mahasiswa tidak boleh dipandang sebelah mata. Penguatkuasaan akta ini secara menyeluruh pada tahun 1974 telah berjaya memalapkan api kemaraan mahasiswa pada saat itu sehinggalah tahun-tahun seterusnya.
Gerakan mahasiswa di Malaysia sebenarnya telah muncul sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi dan kini usianya hampir mencecah satu abad. Ibrahim Yaakob merupakan pengasas gerakan mahasiswa pertama di Tanah Melayu yang telah menubuhkan sebuah gerakan pelajar secara bawah tanah dengan nama ‘Ikatan Pemuda Pelajar’ pada tahun 1929 di Maktab Perguruan Sultan Idris. 

Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, Anwar Ibrahim, Ismail Mina, Dr Zaharuddin Abdul Rahman adalah antara sebahagian nama yang pernah mewarnai pentas mahasiswa pada era masing-masing.  Nama-nama ini telah menjadi sejarah dan akan sentiasa disebut oleh mahasiswa yang terlibat dalam aktivisma mahasiswa masa kini dan akan datang. Kita juga sebenarnya berpeluang mencipta kisah tersendiri seperti mereka yang terdahulu dalam mencipta sejarah untuk disebut oleh golongan mahasiswa akan datang. 
Tulisan ini adalah bertujuan untuk membawa semula aktivisma mahasiswa sekarang dengan berpandukan pada tulisan Mustafa Muhammad at-Tahhan dalam risalah pemudanya berkisarkan aktivisma mahasiswa.

Apa itu Aktivisma Mahasiswa?
Aktivisma mahasiswa adalah satu kumpulan mahasiswa yang bergerak dalam satu aktivisma yang terpadu menuju kebangkitan umat. Mahasiswa adalah pemuda atau pemudi yang menuntut ilmu pengetahuan di kampus-kampus, institusi-institusi pendidikan dan kemahiran. Mereka berada dalam fasa serba ingin tahu, penuh sensitiviti terhadap isu-isu masyarakat, bersedia memberi dan berkorban.
Mahasiswa menjadi pilihan untuk melaksanakan amanah ini adalah kerana gerakan mahasiswa terdiri daripada para pemuda yang sentiasa bersemangat. Pemuda sentiasa terhadapan dalam aspek keberanian, aspek perubahan, aspek iman serta amal dan aspek pemikiran serta pembentukkan. Mereka mampu menguasai dan menghasilkan pemikiran serta pembaharuan.

Matlamat Aktivisma Mahasiswa.
Perkara pertama yang mesti menjadi matlamat gerakan mahasiswa ialah mempersiapkan generasi mahasiswa dengan akidah Islam yang mantap, pemikiran yang suci dan memastikan roh mahupun ilmu sampai pada peringkat yang layak sehingga mampu memikul beban umat. Individu yang gagal memahami prinsip asas agama dengan sempurna akan mudah terpedaya dengan hembusan-hembusan lembut dunia yang mengasyikkan. Semakin lama mereka akan tertipu dengan amal mereka oleh kerana gagal berpegang pada fikrah dan prinsip yang asal.
Para mahasiswi tidak terlepas dari mempersiapkan diri kerana mereka juga satu barisan bersama mahasiswa dalam menggerakkan aktivisma kepada masyarakat. Setiap satu sama lain mampu menyumbang mengikut peranan masing-masing. Bagi memastikan aktivisma terus bergerak, mahasiswa mesti mencari dalam kalangan mereka yang berpotensi dan mendorong mereka lebih terkehadapan lagi. Amatlah rugi sekiranya gagal menyerlahkan permata yang dimiliki apatah lagi sekiranya kehebatan mereka dialirkan pada perkara yang merugikan Islam.
Matlamat kedua dalam aktivisma adalah memelihara kebajikan mahasiswa. Kebajikan mahasiswa kebiasaannya boleh dihulur dalam bentuk bantuan kewangan, isu pelajaran, hubungan sosial dan cara pemikiran. Perkara ini mesti dijaga sebaiknya kerana merekalah yang akan mencorak masa hadapan sesebuah negara. Selain memelihara kebajikan kewangan, hendaklah dipastikan bahawa sikap atau akhlak mahasiswa dapat dibentuk melalui program-program universiti yang membina jati diri individu bukan pula program yang merosakkan seperti hiburan melampau dan merosakkan pemikiran. 
Matlamat ketiga adalah memelihara dan membela hak-hak umat. Mahasiswa boleh bergerak dengan cara mengembangkan rasa cinta kepada tanah air dan bangsanya melalui aktiviti-aktiviti patriotisme. Selain itu, menyebarkan nilai- nilai islam ke dalam jiwa masyarakat, memerangi kerosakan serta melawan serangan pemikiran dan ekonomi yang boleh mengancam kedaulatan agama dan negara boleh turut direncanakan oleh setiap golongan aktivisma mahasiswa. Walaupun bukan dengan cara mengetuai tapi dengan cara membantu pihak berkuasa sudah cukup menunjukkan satu sumbangan besar kepada masyarakat.

Buah Idea buat Pemimpin Mahasiswa.
Menjadi seorang pemimpin adalah satu tanggungjawab besar buat setiap individu jika dia memahami sepenuhnya tugas sebenar posisi ini. Mengetuai sebuah organisasi buat kali pertama pasti sahaja merisaukan andai tidak diurus dengan betul.
Penulis ingin berkongsi sedikit perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemimpin mahasiswa : 
i.                     Pengurusan yang betul terletak pada perancangan yang tersusun dan rapi. Jelas objektif yang ingin dicapai serta visi dan misi yang dikejar. Oleh itu, perancangan jangka panjang dan pendek perlu dilakukan.

ii.                   Memberi perhatian setiap perkara yang berlaku dalam dunia mahasiswa. Cuba menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi dan mewakili kepentingan sebahagian besar kelompok mahasiswa.

iii.                  Perlu libatkan seramai mungkin aktivis mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti organisasi dan lihat respon mereka terhadap pelaksanaan program dan hasil-hasilnya.

iv.                 Jangan bataskan pengurusan organisasi hanya kepada anggota rasmi sahaja tetapi perlu libatkan juga mahasiswa lain yang berpotensi dan berpengalaman dalam dunia mahasiswa.

v.                   Tidak meminggirkan para mahasiswi dalam pengurusan, penyusunan langkah dan pelaksanaan program secara saksama. Setiap dari kita adalah pemimpin dan pastinya ada kebolehan yang boleh disumbangkan kepada organisasi.

vi.                 Semua pimpinan perlu variasikan kegiatan organisasi serta menjadualkannya sepanjang tahun pengajian termasuk waktu cuti. Jangan biarkan program hanya berfokus pada satu atau dua jawatankuasa sahaja.

vii.                Menjalin hubungan dengan semua persatuan mahasiswa di dalam kampus dan tidak mengabaikan untuk membina jaringan dengan mahasiswa di kampus terdekat serta luar negara.


Penutup
Melihat keadaan masyarakat yang semakin dihanyut dengan kedahsyatan nafsu dunia, menjadi satu tuntutan mendesak untuk mahasiswa Islam bangkit semula dari tilam empuk kelesuan, berdiri dengan tegap dan berani untuk menghidupkan kembali nilai Islam di dalam diri masyarakat.
Hanya dengan membina aktivisma mereka dengan formula yang tepat, dipandu dengan kekuatan jatidiri, keluasan jaringan perhubungan dan disiplin diri serta berkat izin-Nya mahasiswa Islam pasti akan dapat menghadiahkan semula sinar yang hilang. Mahasiswa tidak selamanya bergelar mahasiswa kerana mahasiswa juga pemimpin umat di hari esok.


Biodata penulis :

Nama : Amirul Hakimi Bin Baderus
Asal   : Kuala Terengganu
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Sains Bahan, UKM.