Terapi cinta Malam Al-Qadar


Bila ku sedari diri disayangi,
Langkah kaki ini semakin berani
bila terkeliru ku ucap nama-MU
Terasa diri ku kembali dipandu.

Engkau yang pertama tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan Engkaulah cahaya
Izinkanlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang MU ku berserah diri.

Tiada batasan waktu
Tiada tempat MU tertentu
Di gunung di lembah
Di darat di air
Siapa pun hamba

Keikhlasan doa, keagungan kasih,

Mengubah takdir…

Betapa indah mempunyai sahabat yang amat mencintai Allah swt. Saya tidak akan boleh lupa betapa bersungguhnya sahabat saya menyanyikan lagu tersebut. Bila mendengar perkataan ‘sayang’, ‘menumpang’, ‘hamba’, dan ‘mengubah takdir’ itu lalu beliau meminta saya mengaitkan bait-bait lagu tersebut dengan cinta antara Allah swt dan makhluk-NYA. Demi Allah, kita tidak akan boleh jumpai cinta yang lebih menakjubkan dan sempurna daripada itu. Dan apa yang lebih menghairahkan untuk kita bercerita di bulan mulia Ramadan ini jika bukan keampunan, kasih dan cinta Allah swt terhadap kita semua.

Ramadan yang mulia ini tidak dapat terpisah dengan rindu dan cinta ang membara. Bertubi-tubi Allah swt mengingatkan kita dalam bulan yang suci ini akan keindahan cinta-NYA.

Rasulullah SAW bersabda :

Apabila telah tiba Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.

(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)

Juga dalam hadis lain Rasulullah saw bersabda :

Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.

(HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Syurga, pengampunan… Ya Rabb, tiada apa yang sesempurna cinta-MU buat kami semua.

Alhamdulillah lebih separuh Ramadan telah kita lalui. Namun masih ada satu detik dalam bulan suci ini yang seluruh umat ternanti-nanti. Sekalian umat bercita-cita dan berharap untuk mendapatkannya. Itulah dia malam al qadar atau lailatul qadar. Tiada siapa yang tahu siapa yang akan mendapatkannya. Malah tarikh kejadiannya juga disembunyikan oleh Allah swt. Semestinya kerahsiaan tarikh itu agar kita sekalian hamba bersungguh-sungguh beribadat sepanjang bulan tarbiyah ini dan bukan memperbanyak amalan pada malam tertentu sahaja.

Sabda Rasulullah saw:

” Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malam di mana Allah swt tidak akan menolak doa orang-orang yang memohon dan merayu pada-NYA. Malam di mana Allah swt tidak akan menolak taubat hamba-hamba-NYA.

Sesuatu yang amat dinanti oleh sekalian muslimin iaitu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

Saban tahun kita melaluinya. Malam yang teragung. Malam yang terhebat di dalam setahun.

Malam yang mana di turunkan padanya Al Quran secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat.

Bagaimana untuk berpesta ibadah disepanjang malam tersebut?

Perlukah saya bersama sekumpulan ulama?

Perlukah saya bersama sekelompok manusia yang ramai dan diketuai oleh Syeikh atau Imam untuk merasai kelazatan pesta ibadah di malam tersebut?

Tidak semestinya. Yang utama adalah menghadirkan hati dan keikhlasan di malam tersebut.

Tadah tangan dan berdoalah dengan penuh keikhlasan.

“Barangsiapa melaksanakan shalat pada malam lailatul qadar karena iman dan ikhlas, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

(HR bukhari)

Rasulullah saw akan menjaga 10 malam terakhir ramadan. Kerana tidak mahu terlepas dengan apa yang Allah swt janji dalam malam al qadar, malam teragung tersebut.

Kerana hanya dengan satu malam itu sahaja menyamai 83 tahun.

Ya 83 tahun.

Hanya satu malam daripada selepas maghrib sehinggalah terbit fajar.

Bayangkan ia kurang dari 12 jam. Waktu yang cukup singkat.

Namun menyamai 83 tahun.

SubhanAllah….tidakkah kita berasa terharu akan kasihnya Allah swt terhadap kita yang hina ini. Allah swt menyediakan malam yang singkat itu untuk kita beramal namun nilaiannya menyamai 83 tahun.

Betapa Allah swt tidak mahu kita rasa terpinggir atau cemburu dengan umat terdahulu yang lebih panjang umurnya dan lebih banyak waktunya untuk beribadat pada Allah swt. MasyaAllah hebatnya kasih sayang Allah swt terhadap kita.

Tetapi apa yang perlu saya lakukan pada malam tersebut?

Selain solat sunat, membaca al Quran, inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a ertinya : “Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : ” Sebutlah doa ” Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”

Satu hakikat yang perlu kita tahu bahawa banyak malaikat yang akan turun pada malam al qadar. Kerana banyaknya berakah pada malam itu. Sehingga beberapa ulama mengatakan bahawa lailatul qadar adalah malam yang penuh sesak! Kerana pada waktu itu banyak malaikat yang turun ke dunia. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

Abu Hurairah pernah berkata:

“Malaikat akan turun pada malam al qadar dengan jumlah yang tidak terhingga. Malaikat akan membawa kebaikan dan keberkahan sehingga terbit fajar”

Keberkatan malam al qadar tersebut bukan terletak pada minit atau jam tertentu. Tetapi bermula dari permulaan malam iaitu maghrib sehinggalah terbit fajar. Maka kita semua mampu untuk mendapatkan terapi cinta malam al qadar ini!

Sebagai penutup, suka untuk saya membawa kita semua melihat falsafah cinta teragung di semesta ini. Pernahkah kita terfikir mengapa puasa Ramadan ini amat menekankan sahur? Adakah kita perasan bahawa itu adalah tarbiyah atau didikan dari Allah swt agar kita terbiasa untuk bangun sebelum subuh. Allah swt ‘memancing’ nafsu kita untuk bangun di waktu seronok tidur itu dengan menyuruh kita makan. Makan, ya makan. Siapa akan menolak untuk makan? Ia suatu keperluan bukan. Dengan ‘memancing’ kita sebegitu selama sebulan, akhirnya jasad kita sudah terbiasa untuk terbangun sebelum subuh. Natijahnya, memberi ruang untuk kita bermunajat di waktu akhir malam.

Jadi, apa yang perlu dihairankan? Dan mana falsafah cinta teragung di semesta ini?

Saya harap kita bersedia untuk mendengar hadis ini.. Hadis yang akan membuat kita sedar betapa Allah swt itu telah lama menunggu kita selama ini. Menunggu dengan rasa kasih dan rindu yang membara terhadap kita, hamba-hamba-NYA.

Sabda Nabi saw:

“Allah swt turun ke langit dunia di satu pertiga akhir malam, lalu berkata ‘Adakah orang yang meminta (pada-KU), untuk aku penuhi permintaannya? Adakah yang memohon ampun (pada-KU) untu aku ampuni dosa-dosanya? Adakah yang bertaubat (pada-KU) untuk aku terima taubatnya?dan adakah yang berdoa (pada-KU) untuk aku kabulkan doanya?

(HR Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad)


Sharifah Abdul Samad
JK Kajian Beliawanis