Pemburu Iman itu… kita?


Hamba Ilahi,

Mengapa masih di situ?

Merenung jauh pemergian mereka,

Pemergian yang penuh derita,

Dihujani dengan peluru nestapa,

Pemergian yang menanti syurga,

Hamba Ilahi,

Kau pula ingin ke mana?

Masih lagi di situ?

Terpinga jangan pula menyinga,

Menangis jangan pula membengis,

Bersyukur jangan sampai tersungkur…

MANUSIA adalah insan ciptaan Allah yang dibentuk daripada jasad dan roh. Sifat dan entiti manusia sentiasa berubah mengikut peredaraan masa dan tuntutan persekitaran. Justeru, tidak hairanlah manusia akan sentiasa merasakan tidak cukup dalam sesuatu nikmat yang diperolehinya. Namun, itu bukanlah alasan untuk manusia menjadi insan yang sentiasa tamak dalam mengaut kekayaan dunia kerana landasan iman jua yang akan menentukan sejauh mana bukti kesyukuran hamba kepada Allah.

IMAN itu tidak dapat dibeli dengan harta kekayaan namun harus diburu. Laksana pemburu di hutan pasti akan membawa hasil buruannya jika berjaya tetapi akan kecewa jika buruannya tidak berhasil. Adakah manusia akan kecewa jika IMAN yang diburunya terlepas atau berjaya meloloskan diri? Jawapannya, hanya pemburu IMAN yang mampu menjawabnya kerana jika seorang pemburu itu cenderung untuk mendapatkan kijang di hutan yang cukup sempurna di matanya pasti kekecewaan terus menerus menyelubunginya. Pasti sepanjang perjalanan pulang, mulut dan hatinya tidak habis-habis membicarakan perasaan kecewanya. Namun berbeza dengan pemburu yang hanya menjadikan pemburuannya itu sekadar hobi di kala waktu lapang.

Jika pemburuannya tidak berhasil, perasaaanya hanya kosong. Begitulah jua dengan pemburu IMAN, jika IMAN yang diburunya masih belum berjaya dimiliki maka hatinya pasti akan merasa resah gelisah. Dia tidak akan senang selagi hati dan jiwanya belum terisi dengan IMAN. Sebaliknya, jika seseorang yang hanya mengikut sekadar suka-suka maka baginya sama sahaja jika beriman atau tidak. Mereka tidak akan merasa bersalah melakukan dosa

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingti Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra’d:28)

Hamba Ilahi sepatutnya bersyukur kerana Allah telah menyediakan lapangan pahala yang cukup luas kepada mereka untuk membantu membuahkan hasil dalam pemburuan mereka. Ramadan merupakan lapangan yang cukup sempurna untuk penyempurnaan ibadah kepada Allah kerana tersedianya pakej-pakej yang istimewa untuk dinikmati bersama. Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak akan pernah jemu menanti rintihan para hamba-Nya.

Saat senang jiwa hamba selalu alpa namun saat susah, tangis ratap melagu memohon simpati kepada Al-Khaliqnya. Waima, masih banyak lagi jiwa hamba yang terus hanyut dengan dendangan dan nyanyian palsu di atas pentas dunia. Kenapa? Maka bercakaplah dengan hati pasti ada jawapan yang pasti.

Ramadan kali ini kita dihidangkan dengan kisah suka dan duka. Gaza menangis dengan dihujani peluru-peluru keganasan dan MH17 yang mengundang duka tak terduga. Peristiwa itu masih segar dalam ingatan kita sebagai umat Islam umpama adegan yang sentiasa bermain-main di benak fikiran kita. Adakah kita hanya mendengar dan melihat dengan pandangan kosong tatkala berita itu dikhabarkan? Adakah jiwa hamba hanya mencebik langsung tidak merasa peduli atau rasa simpati hanya seperti angin lalu sahaja? Memang IMAN itu ada naik dan turunnya kerana SYAITAN tidak akan pernah lelah menggoda IMAN.

Jika IMAN itu masih berbaki pasti khabaran itu menusuk dan menjadi pencetus agar jiwa terus thabat dalam meraih reda Ilahi. IMAN itu bukan mudah untuk diburu malah bukan mudah untuk dipelihara. Hanya dengan kekuatan daripada Allah dan kesungguhan dalam diri yang mampu membantu pemburu meraih kejayaan di sisi Allah.

Kerisauan ini akan menjadi semakin kuat tatkala IMAN sudah dalam diri tetapi adakah mampu ditingkatkan malah tidak mampu dirasai dalam diri? Ramadan kali ini banyak jiwa hamba yang ditemui telah berjaya dalam pemburuan mendapatkan IMAN yang telah lama mereka buru. Adakah kita masih seperti dahulu? Kita dilahirkan dalam Islam tetapi masihkah kita bersyukur terhadap nikmat IMAN yang telah diberikan? Saat surat cinta Allah kita baca, tidak terbitkah sekelumit perasaan rindu dan cinta kepada Al-Khaliq? Sukar sangatkah kita untuk mewujudkan perasaan itu?

Jika susah, mungkin hati kita belum cukup bersih dan suci sesuci telaga Kautsar. Ada karat yang melekat, ada parasit yang menambah sakit. Kerana itu jangan pernah rasa penat dalam melakar cerita cinta menuju Al-Khaliq. Andai NUR itu belum sudi melekat di hati mungkin ada usaha yang belum cukup untuk menjadikan kita pemiliknya. Teruskan usaha kita. Jika RAMADAN kali ini menjadi madrasah untuk kita menebus silap namun belum ketemu, teruslah berusaha agar ada ruang dan peluang pada kesempatan yang akan datang.

Sang pemburu IMAN dan CINTA Allah tidak akan pernah serik dan jemu dalam pemburuannya malah akan terus berlari. Jika tidak mampu berlari maka dia akan berjalan, jika tidak mampu juga maka dia akan merangkak sehinggalah sampai saat nafas di kerongkongan. Jiwa hamba itu akan terus memburu kerana dia sudah mengenali tujuan dirinya di bumi. Kita pula bagaimana? Ayuh koreksi diri membina jati diri kerana IMAN itu ada dan pasti cuma menanti pemburu misteri… Mampukah kita menjadi pemburu misteri itu dalam dunia yang tidak sepi dengan agenda tersendiri. Pejamkan mata, bermuhasabahlah seketika sementara nafas masih lagi di dunia….



Anis binti Mohd Radzuan
Ketua Beliawanis
Persatuan Belia Islam Nasional cawangan KL