Pembaziran di bulan Ramadhan



Bulan ramadhan merupakan satu-satunya bulan Islam yang menjadi tumpuan bagi setiap umat Islam pada setiap tahun. Kemeriahan bulan Ramadhan akan dirasai pada setiap kali berakhirnya bulan syaban dan tibanya bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan jugalah segala persiapan dilakukan oleh setiap umat Islam bagi menghadapi ketibaannya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dan bulan bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah s.w.t. selain itu, pada bulan ramadhan juga telah dijanjikan Allah s.w.t. pahala serta ganjaran yang berlipat kali ganda untuk hamba-hambaNya. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat difahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud : “Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan”.

          Namun, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Islam kini, apabila datangnya bulan Ramadhan, apa yang menjadi keutamaan yang dibicarakan adalah berkaitan dengan persiapan hari raya, berbagai juadah untuk dijadikan Santapan berbuka puasa dan sebagainya. Hakikatnya, segala persiapan yang dilakukan oleh umat Islam bukan sahaja bersedia untuk berpuasa selama sebulan serta solat terawih malah segala rutin harian berubah dalam melaksanakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Persiapan juadah pada setiap kali untuk berbuka puasa dan bersahur menjadi keutamaan setiap kali menyambut bulan Ramadhan. Berpuasa selama sehari lebih kurang antara 13 hingga 14 jam menahan diri daripada lapar dan dahaga tidak dinafikan bahawa ianya menuntut keinginan manusia untuk membeli pelbagai jenis makanan terutamanya di bazar Ramadhan. Hal ini telah membawa kepada pembaziran apabila apabila setiap kali tibanya bulan Ramadhan, jumlah makanan yang dibuang akibat berlebihan semakin bertambah pada setiap hari. Pembaziran yang dikatakan ini apabila sisa-sisa makanan yang dibuang oleh masyarakat Islam itu sendiri disebabkan terdapatnya sisa makanan yang berlebihan sama ada oleh penjual mahupun pembeli.

   Fenomena pembaziran yang berlaku setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan merupakan satu fenomena yang sangat menyedihkan. Seharusnya pada bulan Ramadhanlah amalan berjimat cermat menjadi keutamaan kerana bulan Ramadhan mendidik umat Islam untuk berjimat cermat dan bersederhana dalam segala hal sebagaiman firman Allah s.w.t. yang bermaksud ‘ sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya’ (surah al-Isra’ : 27). Keadaan sebegini dilihat sebaliknya apabila bulan yang suci ini dicemari dengan pesta makanan yang mana ianya telah menjejaskan kesucian bulan ini. Bulan yang mulia ini seharusnya dihiasai dan dilengkapkan dengan amal ibadah dan sifat takwa dalam setiap individu muslim. Umat Islam seharusnya membelanjakan harta pada bulan Ramadhan ini dengan bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Setiap umat Islam perlu memahami dan menghayati bulan Ramadhan ini dengan menjadikan bulan ini sebagai bulan tarbiah agar  bukan sahaja untuk melatih diri untuk melawan nafsu malah mendidik diri untuk memperbanyakkan amal dan ibadah kepada Allah s.w.t.  Umat Islam seharusnya sedar dan perlulah mengelakkan diri daripada sikap membazir ini dalam kalangan masyarakat Islam agar kesucian agama Islam tidak tercemar. Dengan ini, sikap pembaziran seperti yang kita lihat kini tidak berlaku lagi dalam kalangan masyarakat Islam apabila sikap berjimat cermat diamalkan pada bulan Ramadhan ini. 

          Oleh itu, jelaslah bahawa amalan pembaziran merupakan suatu amalan yang perlu dielakkan dalam bulan Ramadhan khususnya. Hakikatnya, umat Islam perlulah memahami dan mengetahui fadilat sebenar bulan Ramadhan sebagai bulan yang mulia. Bulan Ramadhan perlulah dihiasi dengan pelbagai ibadah seperti bertadarus al-Quran, solat sunat terawikh, Qiamullail, bersedekah,  dan banyak lagi yang menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t. selain malam lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan. Oleh itu, sama-samalah kita sebagai umat Islam membetulkan niat dan memanfaatkan bulan Ramadhan yang hanya singgah sebulan sahaja dalam setahun dengan sebaik-baiknya demi mendapatkan keredhaanNya.

 Biodata penulis :
Nama : Khairah hamizah binti md asari
Usia   : 22 tahun
Asal   : Johor
IPT     : Unisza
Hobi  :Susun atur dan membaca
Cita-cita : Peguam/pegawai syariah
Tokoh yang dikagumi :As-syahid Hassan a
l-banna