Hijrah Cinta Ramadhan


Monolog Seorang Hamba

“Hinanya aku, Ya Allah. Kotornya aku. Seringkali aku terlupa akan suruhan-Mu, Ya Allah. Aku tidak menutup auratku dengan baik, apatah lagi untuk melaksanakan tanggungjawab aku sebagai hamba-Mu dengan sempurna. Banyak kelopongan dalam amal ibadahku. Malunya aku, Ya Allah. Apakah masih ada lagi peluang untuk aku perbaiki diriku ini? Aku mahu bertaubat. Aku mahu dekat dengan-Mu, Ya Allah. Tapi, di manakah harus aku bermula?”
“Keinsafan” Titik Permulaan Sebuah Penghijrahan.

Suasana Ramadhan di masjid UMT- kredit Nor Liyana Afri
Sudah menjadi fitrah manusia tidak dapat melarikan diri dari kesilapan dan kealpaan kerana dibuai oleh arus duniawi dan hawa nafsu semata-mata sehingga terlupa setiap niat dan perbuatan kita sedang diperhatikan dan dinilai oleh Allah S.W.T.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap anak Adam itu sentiasa melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah) 
Keinsafan adalah titik bermulanya satu penghijrahan seorang hamba untuk menggapai keredhaan Allah S.W.T. Masih belum terlambat bagi seorang hamba untuk bertaubat dan menginsafi diri meskipun sebanyak mana kealpaanya, setinggi manapun keangkuhannya terhadap kebesaran Allah, dan sebesar manapun dosa-dosa yang telah dilakukan, pintu taubat tetap terbuka luas buat kita, seorang pendosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan melakukan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53)
Ya, kita bukan maksum seperti para Nabi dan Rasul. Kita bukan makhluk yang sentiasa meningkat amalannya seperti para malaikat. Tapi kita diberi pilihan untuk membentuk diri kita untuk menjadi hamba yang disayangi dan dicintai Allah. Kita diberi hak itu supaya pada suatu masa kelak apabila kita dihadapkan dihadapan Allah, kita tidak merungut atau menyalahkan sesama sendiri di atas balasan yang kita terima kerana keangkuhan kita untuk tunduk kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Al-Ra’d: 11)
Dari mana kita bermula untuk berhijrah itu tidak penting, tapi menjadi suatu kepentingan bagi kita untuk memulakan langkah pertama dalam penghijrahan itu dengan matlamat yang jitu iaitu menuju kepada Allah Yang Maha Esa. Marilah sama-sama kita refleksi diri dan memujuk hati untuk kembali kepada Allah kerana kita tidak tahu bilakah ajal bakal tiba. Mungkin esok atau lusa. Mungkinkah sejam, seminit atau sesaat kemudian? Tiada siapa yang dapat ketahui bagaimanakah pengakhiran hidup seseorang. Adakah baik ataupun sebaliknya? Tiada siapa yang tahu melainkan Allah Yang Maha Mengetahui. Yang Maha Menghidupkan dan Yang Maha Mematikan semua makhluk yang telah diciptakan-Nya.

Allah SWT telah berfirman di dalam kalam-Nya, yang bermaksud:
“Dia (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk)
Ramadhan Bulan Ibadah dan Keinsafan
Ahlan Ya Ramadhan. Sudah lama hati ini merindui kehadiran bulan yang penuh dengan sinar kerinduan dan kecintaan. Bulan yang sering membuatkan jiwa-jiwa yang alpa kembali berpaut pada tali keinsafan. Benih kerinduan yang bercambah kerana jernihnya titisan air mata taubat seorang hamba. Kilauan kecintaan yang terpancar dek indahnya sinaran keampunan Tuhan. Uniknya, Allah SWT menghadiahkan Ramadhan kepada umat Islam sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman malah diberikan bonus tambahan disetiap amalan baik hamba-Nya iaitu keberkatan, keredhaan dan keampunan.
Menjelang bulan Ramadhan, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, Allah mengunjungimu padaa bulan ini dengan menurunkan rahmat menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah perkara-perkara yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yan tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (Hadis Riwayat At-Thabrani)

Pada bulan yang penuh dengan barakah ini, jadikanlah ia sebagai peluang bagi kita sebagai umat Islam untuk memperbaiki diri dalam aspek jasmani dan kerohanian kita. Ayuh “update” diri kita untuk menggapai ganjaran-ganjaran pahala yang telah dijanjikan Allah pada bulan Ramadhan. Seandainya banyak kelopongan dalam amal ibadah kita pada bulan Ramadhan yang lalu, marilah jadikan Ramadhan pada kali ini lebih bermakna dengan memperbaiki dan melipatgandakan amal ibadah kita. Ya, bukan mudah untuk istiqamah dalam setiap amal ibadat kita. Tapi untuk memulakan amalan istiqamah itu perlulah dilakukan sedikit demi sedikit. Jangan tergopoh-gapah memulakannya dengan jumlah yang banyak kerana bimbang kita akan mula merasa lelah apabila sampai di pertengahan amalan.

Daripada Aisyah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh bermakna terutama kepada sesiapa yang ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada bulan ini setiap manusia berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan-bulan selepas bulan Ramadhan di mana bulan ini juga ialah bulan tarbiyah (pendidikan) yang menyentuh ruang lingkup didikan jasmani (jasad), pemikiran dan hati. Bulan ini ibarat madrasah (sekolah) yang menyerap nilai-nilai amalan yang tinggi supaya setiap umat Islam dapat mempraktikkan segala amalan-amalan di bulan Ramadhan pada bulan-bulan selepasnya seperti berpuasa, tilawah al-Quran, zikir, qiamullail, sedekah, dan lain-lain. Seseorang yang baru sahaja ingin berhijrah untuk mencari cinta Ilahi akan mula terpengaruh kepada suasana yang harmoni antara umat Islam yang melaksanakan ibadah dengan penuh ketaatan dan bersungguh-sungguh sedikit sebanyak memberikan impak yang begitu besar kepada mereka untuk melakukan kebaikan dan memulakan langkah untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Kesimpulan:
Kesimpulannya, meskipun siapa kita pada masa yang lalu, baik atau buruknya kita sebagai manusia, kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri sendiri. Jadikan bulan Ramadhan ini salah satu medium untuk kita sama-sama mencari erti sebenar diri sebagai hamba Allah SWT. Oleh itu, mulakan langkah pertama untuk mencapai matlamat yang utama agar diri menjadi lebih bermakna. Wallahu a’lam.



Biodata penulis :
-Siti Saleha binti Zainudin
-Berasal dari Perak
-Bendahari PEMBINA Cawangan Kuala Terengganu. 

Latar belakang pendidikan:
- Bc Hons Teknologi (Alam Sekitar), UMT.

Hobi: 
Melihat keindahan alam

Cita-cita :

Mahu menjadi salah satu bata-bata Islam dan mencari redha Allah

Tokoh yg dikagumi: Zainab al-Ghazali