BERITA : IMPAK 2.0; Kekuatan fizikal & emosi bekal jalan dakwah

KUALA TERENGGANU, 3 APRIL 2015 – “Dakwah Islam tidak mampu ditanggung kecuali oleh orang yang kuat dan orang yang menguruskan projek yang besar tidak ambil hati dengan benda-benda yang kecil”, demikian tegas Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Fauzi Asmuni dalam ucapannya pagi ini.

Beliau menyatakan bahawa kejayaan perjuangan Islam bergantung kepada diri sendiri.Stamina yang kuat amat diperlukan dalam melaksanakan pelbagai projek dakwah. Seorang pendakwah perlu menjaga kesihatan dan pemakanan di samping mesti belajar untuk mengawal emosi. Beliau juga menekankan bahawa individu yang menyampaikan risalah Islam perlu mempunyai jiwa yang besar, ketenangan diri dan hidup dalam keadaan berdisiplin.

Beliau yang berucap dalam Program Ijtima’ Penggerak PEMBINA (IMPAK 2.0) yang berlangsung di Dewan Al-Qassam, Quinara Al-Safir Resort itu turut mengingatkan para penggerak PEMBINA supaya bersedia dengan pelbagai cabaran dalam melakukan amar makruf nahi mungkar ini. Keseronokan melaksanakan amanah dakwah adalah satu keseronokan yang tidak ternilai dan tidak sama dengan keseronokan-keseronokan lain. 

“PEMBINA adalah satu gerakan perjuangan yang akan memungkinkan kita untuk merasakan kepenatan, keletihan  dan hilang segala-galanya”, ujar beliau lagi.

Program IMPAK 2.0 yang diadakan telah dihadiri oleh para penggerak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) danUniversiti Malaysia Terengganu (UMT). Semoga program ini dapat meningkatkan semangat para penggerak untuk menyampaikan risalah Islam dan berasa bersyukur kerana menjadi individu yang terpilih.

Sesi penerangan Tajmi' ala PEMBINA (TAP)
Tim. Pengerusi PEMBINA Caw. akhi Azizan Mohd ketika sesi WE & TAP

Ustaz Fauzi Asmuni (tengah) bersama penggerak PEMBINA KT- kredit photographer


Wartawan : Nur Aida Amira Ahmad
Editor       : Nor Hidayah Ab Aziz