BERITA : Negara Islam; Kuasa Orang Islam pada Kekuatan dan Ketahanan.

Ustaz Dr. Kamarudin (tengah) semasa program berlansung.

Kuala Terengganu, 28 Feb – “Negara Islam ialah yang dikuasai oleh orang Islam samada aspek kekuatan dan ketahanannya, bukan dikuasai oleh rijal agama atau kelompok agama”, kata Ustaz Dr. Kamarudin Awang Mat, Timbalan Yang di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuala Terengganu dalam program Sembang Santai baru-baru ini.
“Tidak semestinya apabila  semua hukum syariah dilaksanakan, sesebuah negara itu baru boleh dianggap sebagai  negara Islam “,ujar beliau lagi. Program yang berlangsung selama dua jam di Kafe Halimatun Saadiah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu mendapat sambutan hangat daripada pelajar.

 “Lapan ciri negara Islam menurut pandangan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi ialah negara yang bersifat sivil tetapi bersumberkan al-Quran dan hadis, tidak dikuasai oleh majoriti atau individu, negara yang bersifat global iaitu tiada batas kenegerian , terdapat undang-undang, berbentuk syura, daulah hidayah iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, negara hak  seperti menjaga hak beribadat, hidup aman dan hak bekerja, mempunyai prinsip-prinsip akhlak dan menjaga golongan yang lemah”, jelas beliau.

Manakala saudara Mohamad Azran Faris Mohamad Azemi, Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kuala Terengganu yang merupakan panel kedua menegaskan bahawa negara Islam wujud  apabila masyarakatnya masih mengamalkan Islam selari dengan apa yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam karyanya Usul Al-Ifta’ fi Al-Ijtihad At-Tathbiqi fi Fiqh Ad-Dakwah. Menurutnya lagi, definisi sekular oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism (1978) ialah mengosongkan konsep kerohanian yang mengakibatkan golongan agama tidak boleh menegur golongan atasan.


Sembang Santai yang berlangsung harmoni itu menerima reaksi positif dan persoalan membina daripada hadirin. Semoga program ini dapat merungkai serba sedikit persoalan mahasiswa tentang isu negara Islam versus negara Sivil ini.