Polemik Isu Kalimah Allah: Dimana STAND kita?



Kuala Terengganu, 5 Feb - Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (4) (Al-Ikhlas ayat 1-4)


Dalam firman Allah s.w.t diatas jelas menunjukkan keyakinan umat Islam terhadap konsep tauhid Allah A’zza Wa Jalla dan ianya sangat bertentangan dengan konsep tuhan yang difahami oleh agama kristian. 

Demikian dinyatakan Dr Razali Bin Musa, Ketua Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), ketika menyampaikan ceramah mengenai penjelasan Polemik Isu Kalimah Allah yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UniSZA dengan kerjasama Persatuan Syariah & Pentadbiran Islam (PERISYA).

Ceramah yang diadakan di Musolla Habibah ini telah dihadiri lebih 40 orang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi UniSZA.

Dalam pada itu, Dr Razali membawa hadirin untuk sama-sama berfikir mengenai tujuan sebenar Bible dalam bahasa Melayu diterbitkan ditambah pula dengan tuntutan mahu menggantikan perkataan God dengan kalimah Allah pada Bible tersebut jika bukan untuk mengembangkan dakyah Kristian kepada orang Melayu. 

Beliau juga menyebut bahawa pertembungan sekarang adalah pertembungan ideologi yang mana mampu untuk mencairkan identiti dan jatidiri sebagai seorang islam jika tidak dibendung dengan serius. 

Tambahan lagi, melihat kepada realiti masyarakat hari ini adalah sangat bahaya jika tuntutan ini diluluskan kerana natijahnya boleh membawa kepada kekeliruan kepada umat Islam sendiri dan membawa kepada pluralism dalam agama.

Akhir sekali Dr Razali menegaskan, isu penggunaan kalimah Allah mestilah difahami secara jelas dan teliti bersandarkan dalil-dalil syarak dan ketetapan Maqasid Shari‘ah yang jelas agar segala kekeliruan dapat dijawab.




Disediakan oleh:
Media PEMBINA KT