Ukhuwah Fillah (Ukhuwah kerana Allah)



Ukhwah fillah bukan sekadar persahabatan biasa, tapi persahabatan yang disandarkan semata-mata kerana Allah s.w.t. Dalam sebuah hadith Qudsi Allah s.w.t berfirman :

KecintaanKu pasti akan diberikan kepada orang-orang yang saling mencintai keranaKu, KecintaanKu berhak diperoleh untuk orang-orang yang saling mengunjungi keranaKu, KecintaanKu berhak diperoleh untuk orang-orang yang saling memberi keranaKu, KecintaanKu berhak diperoleh untuk orang-orang yang saling menjalin persaudaraan keranaKu”    ( Riyadhus Salihin )

a)      syarat-syarat dalam berukhwah :
  •  Ikhlas
  •  Bersama ukhwah adanya iman dan taqwa
  •  Melazimi ajaran Islam (amar makruf nahi mungkar)
  • Nasihat-menasihati ke jalan Allah s.w.t.
  • Tolong-menolong kerana Allah s.w.t.


b)      Ciri-ciri mereka yang berukhwah kerana Allah s.w.t.

  •  Bersifat toleransi dan memaafkan.
  • tidak meninggalkan atau menjauhkan diri daripada sahabat yang ditimpa kesusahan
  •  Berjumpa dengan wajah yang tersenyum.
  •  Bersahabat ikhlas kerana Allah s.w.t.
  •  Setia dan berbuat baik pada sahabat.
  • Tidak mengumpat dan tidak menceritakan keburukan sahabat.
  •  Mengelakkan perselisihan pendapat,gurauan yang berlebihan dan tidak tepati janji.
  •  Bersifat pemurah dan muliakan sahabat
  • Mendoakan sahabat.


c)      Bagaimana cara untuk mencapai roh ukhwah?

Memberitahu kepada saudara yang dicintainya
Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu kepadanya”. (H R Abu Daud dan Tirmizi)
  
Berdoa untuk mereka
Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan bagimu juga seperti itu”.

Berjabat tangan bila bertemu
Rasulullah s.a.w menyarankan pada umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra:
“Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah”.

Memberi senyuman ketika bertemu
Hadis riwayat dari Abu Dzhar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah engkau remehkan kebaikan apa sahaja yang datang dari saudaramu dan jika engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan”. (H R Muslim)

Mengunjungi saudara
Dalam kitabnya Al-muwathtaa Imam Malik meriwayatkan bersabda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman: “Pasti akan dapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku”.

Menyampaikan ucapan selamat
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah s.w.t mengembirakannya pada hari kiamat”. (H R Tabrani)

Memberi hadiah
Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati”.

Memperhatikan keperluan sahabat
Riwayat oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Siapa yang meringankan beban penderitaaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam kesusahan pasti Allah  s.w.t akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutupi aib seorang muslim pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah s.w.t akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya (H R Muslim)

Tegakkan hak-hak persaudaraan:
Wajib bagi kita menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain,Seperti menziarahi saudara yang sakit, mendoakannya ketika bersin dan menolong bagi yang dizalimi.Perkara tersebut adalah penting untuk menunjukkan rasa cinta kasih kita pada sahabat kita sekaligus untuk mempereratkan ukhwah bila kita laksanakannya betul-betul kerana Allah s.w.t. 


Marilah kita renungi sejenak firmanNya: 

“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman).Walaupun kau membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi,nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (al-anfal:63)

SubhanAllah manisnya ukhwah semata-mata kerana Allah. Saling nasihat-menasihati, saling bertanya khabar, saling rindu-merindui..Setiap pertemuan dan perpisahan semuanya kerana Allah.Semoga ikatan ukhwah ini berkekalan hingga Jannah…




Disediakan oleh,

Masturah binti Nasir
Biro Ekonomi,
PEMBINA Kuala Terengganu