Hati yang suci tak takut memberi...


Sebelum anda TERUS membaca dan teruja..mari kita tonton video ini terlebih dahulu....



“Tangan yang MEMBERI lebih baik daripada tangan yang MENERIMA”.


 

Peribahasa yang memang tidak asing lagi dengan kita sebagai masyarakat melayu. Tanpa kita sedar, ungkapan ini mampu memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian. Saya bukanlah orang yang petah berkata-kata juga bukan penulis yang bisa menukilkan bait-bait yang indah untuk menerangkan maksud ungkapan tersebut. Namun, saya ingin berkongsi rasa untuk kita sama-sama merasai keindahan dan nikmat  jika kita bisa menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain
 
            Ironinya, kita sering beralasan dan berkira-kira untuk ‘korbankan’ masa, tenaga atau wang ringgit untuk membantu orang lain. Jika kita salah seorang daripadanya, sama-samalah kita bermuhasabah. Apa yang kita ada di dunia ini  hanyalah ‘pinjaman’ daripada Allah s.w.t. Nikmat yang hanya sementara. Alangkah indahnya andai kita dapat memanfaatkannya dengan berkongsi dengan orang-orang di sekeliling kita. buangkanlah sikap ‘berkira-kira’dengan nikmat yang Allah berikan kerana tidak mustahil Allah juga akan ‘berkira-kira’  untuk memberi rezeki kepada kita. Orang yang banyak ‘memberi’ adalah orang yang paling dicintai oleh Allah. Ini bukanlah omongan kosong semata-mata kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa :

”Orang yang paling dicintai Allah s.w.t adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. Amal yang paling dicintai Allah adalah memasukkan kegembiraan ke dalam hati seorang muslim, menghilangkan kesulitannya, melunaskan hutangnya, atau menghilangkan rasa laparnya.” (HR. Thabrani)


           Banyak memberi sekali-kali tidak akan membuatkan kita menjadi orang yang rugi. Tanggapan seperti ini tiada dalam hati insan yang IKHLAS berbuat kerana Allah s.w.t. Hati yang IKHLAS tidak akan mengharapkan pujian dan tidak akan terkesan dengan kejian atau cercaan, kerana hati itu tahu pandangan siapa yang perlu diutamakan. Jadilah orang yang ‘merdeka’ iaitu bebas daripada pandangan manusia.

Daripada A'isyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda :"Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu.Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit".(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
          Amalan baik yang mudah untuk diamalkan adalah senyum dan menyebarkan salam. Mungkin sukar  untuk memulakannya. Yakinlah! Insyaallah, kebaikan yang kita lakukan juga akan menggalakkan orang di sekeliling untuk melakukan perkara yang sama. Di samping dapat menghidupkan persekitaran yang solehah, secara tidak langsung, ia boleh menjadi saham untuk kita di akhirat kelak.


 “Barangsiapa antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.”(Diriwayatkan Muslim dari Jabir r.a.)

Imam As-syahid Hasan Al-Banna berpesan :"Jadilah kamu seperti sepohon pokok, mereka melemparimu dengan batu, lalu kamu gugurkan mereka dengan buah yang ranum".  







Hasil nukilan,
Nurul Nafiqah binti Rajulan
Biro Akademik,
Persatuan Belia Islam Nasional
Cawangan Kuala Terengganu