![]() |
KULTUM 1.0 di Masjid UMT |
Terlihat waktu 10:47 pm di bucu
kiri skrin laptop, menandakan hari kian menjengah ke pertengahan malam. Cinta sidna - Suhaimi Saad berdentum
jadi halwa telinga. Terlajak satu hari due date submit artikel. Sebetulnya
ada tiga artikel yang dicuba-cuba tulis, nyatanya percubaan tak dilajakkan
hingga ke puncak/konflik. Jiwa tiba-tiba lesap menjadikan hasilnya
terkontang-kanting dan separuh jalan. Hilang punca yang entah macam mana.
Barangkali penulisan gaya ‘artikel’ (academic writing terkecuali)
sememangnya adalah bentuk halangan menyempitkan. Banyaknya yang tersangkut di
laman blog sendiri adalah penulisan hasil pemerhatian dan pendengaran yang
kupasannya santai bermoral. Mohon belas daripada tuan editor untuk sudikan jua
menerima air tangan ini.
terpesona mata,
dengan kilauan permata,
memaknakan cinta kepada dunia,
serta takut sirna – Cinta sidna
![]() |
nak satu bintang! - kredit foto |
Penulisan ini ditujukan kepada sosok
seseorang, nyata istimewanya.
Dentuman bertukar InnaAllaha
Maa’na - Medina. La budda musikal bisa mencantumkan benih-benih
kepala buat orang yang berjiwa biru, tidak dapat terasingkan ibarat irama dan
lagu. Sudah pernah dikhabarkan dulu kalau bukan suatu ketika nanti bergelar
ahli akademik, ada kemungkinan membayangkan diri sebagai komposer lagu. Selamat
berkenalan.
Termanggu dalam ruang kecil
tertutup ini masih memungkinkan mata membayangkan langit luar yang tidak berapa
gelap tapi tetap sudi menyilaukan jua kelipan cahayanya sang bintang. Mahu
dikutip cahaya-cahaya itu dan dihulurkan pada jiwa yang kegelapan agar bertukar
menjadi sinar yang menyuluh. Bintang-bintang itu bertebaran indah dengan
tersangat banyaknya ibarat hamparan malam dingin menyelimutkan dunia agar
berasa tenang dan nyaman dalam pelukannya.
Riwayat bintangkah yang ingin dicurahkan? Ya, barangkali.
Bintang membuat gelisah sungguhpon berjarak pandang tapi hati mendekat
ada getaran.
Bintang~ ini getaran rasaku…
Tanpa ketahuan waktunya hanyasanya selepas tiupan kedua si Israfil, terbangun
dan tergambarlah suasana ketika itu orang-orang bergelisahan, resah, air
peluhnya hingga ke pucuk hidung, tanpa cotton Inggeris, sutera, chiffon
bahkan seurat nylon pon tak sudi melekat menutup aibnya. Nafsi-nafsi
membawa diri, tanpa peduli isteri tercinta yang menggugu bahkan tak sudi dicari
anaknya yang mungkin sedang menghiba. As-syams hanya sejengkal daripada tulang
kepala. Berdiri atas satu kaki tanpa putaran kipas National, hawa dingin
Panasonic mahupon sekadar kipas sate. Leka menghitung-hitung diri,
genius Matematik sekalipon berserabut otaknya walaupon perkiraan amalnya cuma perlu
dibahagi dua - baik atau buruk.
Betapa anehnya hari itu bahkan mungkin berkumpulnya nanti bersama
biduan biduanita belahan jiwa, yang biasanya hanya disorak sorai dari bawah
pentas atau cuma bertepuk tangan depan kaca TV. Tapi ganjil sekali hari itu,
memandangnya saja tidak mahu apatah lagi meminta autografi buat kenang
kenangan. Selautan saujana mata memandang daripada umat generasi Adam
sehinggalah generasi umat Nabi akhir, tak terkira jumlah ramainya orang-orang
yang dikumpulkan di tempat yang dijanjikan itu - Mahsyar.
Kala itu sayup-sayup ada teriakan berulang-ulang. Memanggil dengan
penuh harapan, ada yang diperkenankan mengenal suara itu berlari-lari kecil
mendapatkannya. Tak kurang ada juga yang cuba-cuba mendekat padanya tapi tak
diperkenankan, lalu katanya “Tuhanku, sesungguhnya mereka adalah umatku.”
Lalu Allah menjawab : “sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah
mereka lakukan sepeninggalanmu”.
cinta nan sejati,
yang seikhlas budi,
milik seorang Nabi ummati ummati,
cintanya abadi – Cinta sidna
Diserunya lagi, “ummati, ummati….”, berulang-ulang.
Diserunya lagi, “ummati, ummati….”, berulang-ulang.
Bahkan terus-terusan “ummat ku, ummat ku…”
Diberikan daripada tangannya sendiri piala atau kendi berisi air
dingin di tepi Kauthar atas syafaatnya. Piala-piala air yang tersedia
sebanyak bintang dilangit. Nikmatnya tak tegambar di waktu resah gelisah
itu, di kala semuanya berdegup kencang menanti perhitungan al-Mizan,
atas belas syafaat jua cinta pada ummatnya, disudikan mengagih-agih air dingin
kurniaan Allah bagi mereka yang layak. Itulah
bintang yang mahu ditempah daripada tangan baginda Nabi, sosok seseorang
istimewa yang ditujukan penulisan ini.
Tak tergambarkan betapa celanya, hinanya seandai piala air sebanyak
bintang dilangit itu tak tersedia satu pon untuk disambut ditangan ini, airnya
dinginnya tak dapat diteguk. Resahnya berterus-terusan dan derita
bertambah-tambahan.
Tatkala mendongak ke langit dalam kegelapan malam, pilihlah bintangmu
yang paling cerah bersinar, petiklah ia dan bisikkan penuh kecintaan pada
baginda, “Ya Rasulullah, sudikanlah aku menempah satu bintang daripada
tanganmu”.
Riwayat bintang, adaptasi daripada petikan hadith ini :
Anas R.A berkata ketika Rasulullah S.A.W bersama kami di dalam masjid,
tiba-tiba baginda melelapkan matanya seketika, kemudian mengangkat kepalanya
dalam keadaan senyum. Kami bertanya : “Apakah yang membuat anda senyum Ya
Rasulullah S.A.W?” Baginda menjawab (maksudnya) : “Sesungguhnya telah
diturunkan kepadaku sebentar tadi satu surah,” lalu baginda membaca surah
al-Kauthar.
Seterusnya baginda bertanya “Apakah kalian tahu apa itu
al-Kauthar?” Kami menjawab : “Allah & RasulNya lebih mengetahui”.
Nabi menjawab : “Sesungguhnya ia adalah sebuah sungai yang dijanjikan oleh
Allah kepadaku dan mempunyai banyak kebaikan. Disitu, ada takungan air (minum)
yang dikunjungi umatku pada hari akhirat, bekas air yang disediakan sebanyak
bintang di langit, sebahagian daripada umatku ditegah mendapatkannya”. Aku
berkata : “Tuhanku, sesungguhnya mereka adalah umatku”. Lalu Allah
menjawab : “Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka
lakukan sepeninggalanmu”. (HR Muslim, Abu Daud & an-Nasa’ie).
Dentuman Balada selawat - Munsyid menutup tirai. Wallahua’lam.
![]() |
Penulis (tengah) semasa bertugas membuat liputan misi BAKTI Banjir PEMBINA di Kemaman |
Biodata penulis :
- Najihah Bt Muhd Munzafar
- Berasal dari Kuala Lumpur
- Lahir pada 17 April 1989
- Melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sains Akuakultur di UMT
- Mantan JK Media & Informasi PEMBINA K. Terengganu
- Lahir pada 17 April 1989
- Melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sains Akuakultur di UMT
- Mantan JK Media & Informasi PEMBINA K. Terengganu
- Kini sebagai JK Pembangunan Organisasi PEMBINA K. Terengganu
Nakbah umat Islam abad-20
Hampir 92 tahun sudah umat Islam
masih meratapi kesedihan kehilangan sebuah khilafah Islam yang dahulunya
memerintah dunia ini dengan berbekalan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Perjuangan
demi perjuangan digerakkan oleh da’ie bak cendawan tumbuh selepas hujan di
seluruh negara umat Islam. Di Mesir wujudnya Ikhwan muslimin yang diasakan oleh
Hasan al-Banna, di Turki pula, lahirnya gerakan Said Nursi, di Pakistan pula lahirnya
gerakan Jamiat Islami yang dipelopori oleh Abul a’la al-Mawdudi dan banyak lagi
termasuklah di Tanah Melayu yang bermula di sekitar 1970-an. Mereka tetap
bekerja bersungguh-sungguh membina generasi harapan walaupun ketika itu juga
pihak musuh Islam rancak merantah umat Islam dengan penuh kemaruk.
Kemenangan
semakin hampir. Bila?
Saya bawakan maksud
hadis Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Ahmad:
“Muncul babak
Kenabian di tengah kalian selama masa yang Allah kehendaki, kemudian Allah
mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul babak Kekhalifahan
mengikuti manhaj (cara/metode/sistem) Kenabian selama masa yang Allah
kehendaki, kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian
muncul babak Raja-raja yang menggigit selama masa yang Allah kehendaki,
kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul babak
Penguasa-penguasa yang memaksakan kehendak selama masa yang Allah
kehendaki, kemudian Allah mencabutnya ketika Allah menghendakinya. Kemudian muncul
babak Kekhalifahan mengikuti manhaj (cara/metode/sistem) Kenabian. Kemudian
Nabi shollallahu ’alaih wa sallam diam.”
Daripada sini, dapatlah kita yakini bahawa Islam akan kembali semula memegang tampuk kepimpinan dunia. Adakah kita ingin menjadi sebahagian golongan yang terlibat dalam menyusun bata-bata kemenangan ini atau kita ingin menjadi pemerhati dari jauh? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.
Perjuangan
ini berat, hanya amal secara kolektif (berjemaah) sahaja yang mampu
menguruskannya
Firman Allah SWT
di dalam surah as-Saf, ayat 4:
“Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam
barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun
kukuh”.
![]() |
Gambaran ketika Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin tenteranya - kredit foto |
Marilah kita
menelusuri sirah Nabawiyyah Rasulullah SAW yang tercinta juga memulakan
strategi dakwahnya dengan merekrut sahabat-sahabat yang boleh membantunya
sebagai satu kumpulan untuk menyebarkan Islam di bumi Mekah ketika itu. Jika
Rasulullah SAW, utusan terakhir juga bekerja secara jamaie’ dalam tugas-tugas
dakwah baginda dan sahabat, masakan kita pula, insan yang sangat lemah dan
jahil ini, amat memerlukan lagi gabungan tenaga bagi menjayakan misi yang suci
ini. Daripada sinilah lahirnya juga pergerakannya yang lebih matang
dilaksanakan generasi demi generasi melalui fiqh dakwah dan haraki. Ulama-ulama
haraki terdahulu berusaha mendidik generasi baru dengan ma’ani dakwah dan
haraki berdasarkan pengalaman mereka di jalan dakwah ini melalui penulisan kitab-kitab
yang berkaitan. Usaha ini juga telah dicontohi oleh ulama-ulama haraki
kotemporari seperti Syed Qutb, Mustapha Masyhur, Abbas As-Sisi, Fathi Yakan,
Yusuf Qardawi, Mustapha Sibai’e dan banyak lagi.
Jika masih ada
mereka yang masih memahami dakwah ini hanya dapat dilakukan secara individu
tanpa jamaah, saya kira saudara/I belum memahami konsep sebenar dalam dakwah.
Tidak mengapa, ambil masa, jumpa mereka yang ahli bahagian ini, belajarlah
daripada mereka. Masih belum terlambat, tidak bermakna kita boleh
tangguhkannya.
Jalan dakwah
ini sangat mencabar dan memakan masa
Saya sajikan
kata-kata daripada Syaikh Mustapha Masyhur, agar dapat kita fahami, bahawa
inilah thoriq (jalan) dakwah yang sebenar dari bibir mereka yang terlibat
secara langsung dalam dakwah ini.
“Jalan dakwah
tidak ditaburi bunga-bunga harum, tetapi merupakan jalan sukar dan panjang.
Sebab, antara haq dan batil ada pertentangan nyata. Dakwah memerlukan kemurahan
hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera, tanpa putus
asa dan putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus
dan hasilnya terserah kepada Allah SWT, sesuai dengan waktu yang
dikhendaki-Nya. Mungkin pendakwah tidak akan melihat hasil dakwah serta buahnya
di dalam hidupnya di dunia ini. Kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak
disuruh melihat hasil dan buahnya”.
Kesabaran
adalah ibu kunci kepada amal dakwah ini
Masa adalah
sebahagian daripada rawatan. Inilah adalah ungkapan yang telah diolah oleh
as-Syahid al-Imam Hassan al-Banna rhm di dalam penerangan tentang rukun baiah
ke-7 iaitu thabat. Penjelasan aspek ini juga telah ditulis oleh Muhammad
Abdullah al-Khatib di dalam bukunya yang bertajuk Penjelasan Di Sekitar Risalah
Ta’alim.
Seperti mana,
saya coretkan di bahagian pendahuluan tulisan ini, bahawa musuh-musuh Islam
telah melaksanakan projek-projek untuk membinasakan umat Islam. Tambahan umat
Islam pula dijangkiti pelbagai penyakit yang serius sehinggakan ‘ilah mereka
bertukar daripada Allah SWT kepada materialistik. Realiti sebegini tidak mampu
dirawat dengan segera. Oleh itu ia perlukan kesabaran.
Hassan al-Banna
menegaskan bahawa rawatan ini ada tiga perkara iaitu:
1.
Mengetahui
tempat sakit yang sebenar
2.
Sabar
terhadap kesakitan rawatan
3.
Doktor
yang mahir merawat penyakit tersebut sehingga menyembuhkannya seperti sedia
kala
Demikianlah,
bahawa tiada ruang untuk dakwah ini, bagi mereka yang gopoh-gapah dan terlalu
bersemangat dan berjiwa rapuh untuk jayakan cita-cita yang sangat suci ini.
Hassan al-Banna
juga memberi peringatan kepada ahli ikhwan muslimin tentang hal ini, di dalam
ucapannya berikut:
“Hai Ikhwanul
Muslimin, terutama yang tergopoh-gopoh dari kamu, dengarlah kata-kataku yang
tinggi yang berkemundang dari atas mimbar ini di dalam muktamar kita yang umum
ini. Sesungguhnya jalan kita adalah jalan yang telah digariskan
langkah-langkahnya ditentukan batas-batasnya dan akan tidak menyalahi
batas-batas itu, dan aku telah berpuas hati dengannya, kepuasan
sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai
tujuannya. Mungkin tugas dakwah merupakan satu jalan panjang, akan tetapi di
sana tidak ada jalan lain selain jalan itu. Sifat kelelakian tidak akan lahir
kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang
sungguh-sungguh dan terus menerus. Maka siapa saja dari kalangan kamu yang
hendak cepat dan terburu-buru memetik buah sebelum masak atau ingin memetik
bunga sebelum masanya, maka aku sama sekali tidak bersama dengannya, dan lebih
baik baginya meninggalkan dakhwah ini, lalu pergi mencari dakwah yang lain. Siapa
saja yang bersabar bersama aku hingga berkembang dan membesar benih itu lalu
tumbuh pokoknya, baik buahnya hingga tiba waktunya untuk dipetik, maka
ganjarannya terserah kepada Allah SWT semata-mata. Kita tidak boleh lari
daripada dua kebaikan ini. Apakah kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan
bahagia”.
Jika anda masih
terus berlebih-lebihan bersemangat dan gopoh dalam melaksanakan tugas dakwah
ini, maka kembalilah kepada kefahaman ini yang sebenarnya. Oleh itu,
terjawablah persoalan kepada tulisan ini, bahawa tidak cukup untuk bersemangat
sahaja di jalan dakwah ini.
Semoga Allah
tetapkan hati kita semua untuk kuat bersabar dan konsisten dalam melaksanakan
tugas dakwah ini sehingga kita dipanggil untuk bertemu dengan-Nya.
Rujukan:
1.
Al-Quran
2.
Buku Fiqh
dakwah, jilid 1, karangan oleh Syaikh Mustpaha Masyhur
3.
Buku
Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta’alim, oleh Muhammad al-Khatib
Penulis semasa menjadi salah seorang panel forum 'Islam Gagasan Belia Negara' |
Biodata penulis :
- Mohamad Azran Faris Bin Mohamad Azemi
- Kota Bharu, Kelantan
- Melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Biologi Marin di UMT
- Sudah berkahwin
- Jawatan sebagai Pengerusi PEMBINA cawangan K. Terengganu.
![]() |
Alamak! |
Merenungi
keadaan manusia kini, jiwa terasa berat, sempit dan sesak. Seakan orang yang
hampir kelemasan saat berenang, tercungap mendapatkan sumber udara. Mana
tidaknya, terlalu banyak penyakit sosial yang melanda ummah kini; rasuah,
mencuri dan merompak, buli,pergaulan bebas, zina, hamil anak luar nikah, bunuh
dan segala macam masalah yang tidak berpenghujung. Lebih membimbangkan, arus
pemikiran tanpa landasan syariat seperti liberalisme, feminisme dan hedonisme,
ditambah lagi dengan pengaruh ajaran sesat seperti syiah dan kristinisasi
semakin menular ibarat virus yang menjangkiti mangsanya. Semua ini adalah
masalah yang sudah tentu memerlukan penyelesaian. Ya, ummah perlu dirawat!
Lalu, apa kaitannya dengan madah penulisan ini?
Kita perawat ummah
Disini, penulis ingin mengajak
pembaca meneliti kalam Ilahi yang terkandung di dalam surah ali-‘Imran ayat
110;
“Kamu
(umat Islam) adalah umat terbaik yang
dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan
mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab
beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman,
namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik”.
Nah, begitu indah pengiktirafan
Allah kepada umat Islam. Dijadikan-Nya kita umat terpilih, yang terbaik dari
sekalian umat yang ada di muka bumi dan sudah tentu dengan tujuannya yang
benar, yakni mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah daripada
kemungkaran. Sedar tidak sedar, kitalah insan pilihan Ilahi untuk merawat penyakit
ummah yang semakin tenat kini. Ternyata, ini bukan kerja yang mudah. Sedangkan
Rasulullah s.a.w., kekasih Allah juga mengalami pelbagai mehnah demi memimpin
umat baginda kembali kepada Allah.
Sifat seorang
doktor ummah
Demi mengubati penyakit-penyakit
ummah ini, sebilangan doktor ummah amatlah diperlukan. Siapakah di antara kita
yang layak menjadi doktor ummah? Pendapat penulis sendiri, orang yang layak
menjadi doktor buat ummah adalah mereka yang mempunyai dan berusaha melengkapi
dirinya dengan sifat-sifat peribadi muslim. Berikut ini adalah 10 sifat
peribadi muslim yang harus ada dalam diri setiap doktor ummah:
1.
Aqidah yang sejahtera
2.
Ibadah yang benar
3.
Akhlak yang mantap
4.
Sihat tubuh badan
5.
Luas pengetahuan
6.
Berjuang melawan hawa nafsu
7.
Menjaga waktu
8.
Tersusun dalam sesuatu
urusan
9.
Berdikari
10.
Bermanfaat kepada orang
lain
Lihatlah, Imam Hasan al-Banna
amat menitikberatkan kesihatan jasmani sebagai salah satu sifat yang perlu ada
pada jiwa seorang muslim sejati. Hal ini seiring dengan sabda Rasulullah s.a.w.
yang bererti, “Mu’min yang kuat lebih dicintai Allah daripada mu’min yang
lemah” (HR Muslim).
Berhubung kesihatan jasmani, kita tidak boleh
lari daripada membicarakan dua aspek berikut; pemakanan dan aktiviti fizikal.
Halal lagi baik
Menelusuri firman Allah di dalam
surah al-Maidah ayat 88 maksudnya,
“dan
makanlah makanan yang halal lagi baik (thoyyib) dari apa yang telah diizinkan
kepadamu dan bertaqwalah kepada Allah dan kamu beriman kepada-Nya”.
Disini, amat penting untuk kita
mencari makanan yang halal bukan sahaja daripada sifat makanan itu sendiri,
kita juga seharusnya mendapatkan makanan tersebut dengan cara yang halal (bukan
makanan yang dicuri, hasil rasuah dan apa sahaja cara yang haram).
Walaubagaimanapun, makanan yang
halal sahaja belum betul-betul menepati kriteria pemakanan seorang doktor
ummah. Ayuh kita bawa imaginasi kita ke sebuah pusat membeli-belah. Bayangkan
rak makanan ringan yang bertingkat-tingkat itu. Ya, ada logo halal pada hampir
kesemua makanan, bukan? Namun, adakah makanan-makanan sebegini baik untuk
kesihatan? Nah, disinilah makanan yang baik (thoyyib) berperanan. Seorang
doktor buat ummah yang tenat haruslah bijak memilih makanan yang ingin disuap
dan dihadamkan. Berusahalah memilih makanan yang seimbang nutrisinya buat tubuh
yang dipinjamkan kepada kita ini. Tanamkan dalam minda bahawa makanan yang
masuk ke perut kita ini adalah sumber tenaga buat kita menuntun ummah kembali
kepada Pemilik mereka.
Keutamaan riadah
Mungkin ada yang beranggapan,
memilih makanan yang seimbang sudah cukup untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Jika hal ini benar, masakan Rasulullah s.a.w. mengarahkan umat baginda
mengajarkan anak-anak mereka memanah, berkuda dan berenang? Makanan yang kita
makan mampu membekalkan tenaga, namun bagi menguatkan otot dan ketahanan
fizikal badan yang lain, senaman haruslah diamalkan. Ayuh azamkan pada diri
untuk memperuntukkan sebahagian masa mingguan kita untuk senaman dan aktiviti
fizikal yang bermanfaat. Lazimkan senaman dengan doa Rasulullah s.a.w.;
“Ya Allah
sihatkan badanku, ya Allah sihatkan pendengaranku, ya Allah sihatkan
penglihatanku”
Konklusinya, setiap daripada
kita, orang yang beriman adalah doktor ummah yang seharusnya menjaga tubuh kita
demi membimbing ummah kearah kebaikan. Fizikal yang lemah adalah mustahil untuk
bernafas panjang dalam usaha menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran. Penulis suka untuk berkongsi kata-kata daripada Allahyarhamah ibu
Ainun, isteri kepada bekas Presiden Indonesia, Bapak Rudy Habibie;
“Kamu itu
pemimpin Negara, kalau kamu tidak mampu memimpin tubuhmu sendiri bagaimana kamu
mahu pimpin tubuh 200 juta orang?”
Renungkanlah
dan sama-sama kita menjaga perut demi ummah, insya-Allah.
Penulis semasa pembentangan program IMPAK 2014 |
-Nura Ruhaya Abd Halim
-26 Disember 1990
-Rembau, Negeri Sembilan
-Sekarang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sains Makanan di UMT.
-Mantan JKPO PEMBINA K. Terengganu
-Sekarang menjawat sebagai Ketua Beliawanis PEMBINA Kemaman